Isnin, 13 November 2017 | 6:31pm
BEKAS Exco Pemuda Pusat ARMADA, Muhd Syazwan Ahmad Zainal (duduk) di sidang media berkenaan status 'ARMADA' yang melanggar akta pertubuhan 1966 di Jalan 6/6, Pandan Indah Commercial Park. - Foto Salhani Ibrahim

ARMADA: Kepemimpinan PPBM perlu bertanggungjawab

 

AMPANG: Kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu bertanggungjawab terhadap pelanggaran Akta Pertubuhan 1966 berhubung penggunaan istilah Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang tiada dalam perlembagaan parti.

Sehubungan itu, bekas EXCO ARMADA, Muhd Syazwan Ahmad Zainal, menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu terbabit.

Katanya, ini kerana perlanggaran Akta Pertubuhan 1966 menyebabkan sebarang bentuk lantikan jawatankuasa pemuda pada peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan menjadi tidak sah.

"Akta itu membolehkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan berikutan penggunaan istilah ARMADA yang tiada dalam perlembagaan parti seperti yang disahkan Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, pada 9 November lalu.

"Tetapi, bagaimana kesalahan ini tidak pernah ditegur oleh mana-mana pemimpin parti sedangkan mereka mempunyai pengalaman politik yang dikatakan matang.

"Saya menggesa pihak polis dan ROS untuk mengambil tindakan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggelarkan dirinya Ketua ARMADA sedangkan istilah ARMADA itu sendiri tidak pernah wujud menurut perlembagaan parti dan seperti mana yang disahkan ROS.

"Tindakan beliau telah mewujudkan satu bentuk penipuan terhadap ahli-ahli parti terutama sayap pemuda parti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 9 November lalu, ROS mendapati sayap pemuda PPBM yang dinamakan ARMADA tidak ada dalam perlembagaan parti itu.

Menurut ROS, penggunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan parti adalah berat yang membolehkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

1226 dibaca
Berita Harian X