Selasa, 14 November 2017 | 4:39pm
SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh di sidang media selepas keluar dari Jabatan Pertubuhan Pendaftar, Putrajaya ketika hadir untuk disoal siasat berhubung kemelut yang melanda Parti PPBM. - Foto Abd Rahim Rahmat

Isu perlembagaan PPBM: Shahruddin beri keterangan 3 jam

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, hari ini hadir memberi keterangan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ketika ditemui pemberita selepas tiga jam proses berkenaan, beliau berkata, kehadirannya untuk memberi keterangan susulan beberapa bahagian PPBM di Johor membuat aduan kepada ROS berhubung beberapa perkara.

Katanya, beliau memberi kerjasama penuh dengan mengemukakan segala bukti dan maklumat yang diperlukan jabatan itu.

"Segala soalan berkaitan soal perlembagaan dan saya cuba jawab sejelas mungkin segala tindakan dan keputusan yang sudah kita ambil berdasarkan perlembagaan PPBM," katanya.

Ia susulan lapan bahagian PPBM di Johor membuat laporan kepada ROS berhubung kegagalan kepemimpinan tertinggi parti berkenaan mematuhi perlembagaan PPBM.

Antaranya, kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk disoal siasat ROS lagi selepas ini sekiranya diperlukan, tetapi buat masa sekarang meminta semua pihak bertenang kerana segala-galanya masih dalam siasatan.

688 dibaca
Berita Harian X