Selasa, 14 November 2017 | 11:53pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. - Foto Fariz Iswadi Ismail

SPR: Cadangan pembangkang lebih bermotifkan politik

KUALA LUMPUR: Banyak cadangan pemimpin pembangkang lebih bermotifkan politik berbanding cuba untuk menambah baik proses perjalanan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata SPR sebagai badan yang bersifat neutral tidak boleh mengikut kehendak mana-mana pihak yang dilihat lebih mementingkan selera politik mereka sendiri.

"Kita tak boleh langgar peraturan sesuka hati semata-mata kerana ia tidak mengikut selera kita. (SPR) buatlah macam mana pun tapi kalau tak ikut selera hati (politik pembangkang), tetap tak kena juga," katanya menggulung Rang Undang-undang Pembekalan 2018, peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu menjawab celahan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) berkaitan peti undi awal yang disimpan di lokap balai polis.

Razali menegaskan orang awam tidak boleh sewenang-wenangnya memasuki lokap berdasarkan peraturan undang-undang. - BERNAMA

625 dibaca
Berita Harian X