Khamis, 7 Disember 2017 | 4:35pm
PERASMIAN Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini. - Foto BERNAMA

PAU usul 2 jawatan tertinggi tak dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 yang bermula hari ini mengemukakan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Usul itu dicadangkan sendiri wakil jurucakap Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, ketika membahas ucapan sebagai pencadang usul ucapan dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Beliau menjelaskan usul tambahan itu bukan untuk menumpukan kepada pemilihan parti dan mengenepikan Pilihan Raya Umum (PRU), sebaliknya ia simbol kepada sifat wala' dan 'winning mentality'.

"Saya menegaskan ketetapan dan pendirian ini bukan bermakna kami mengutamakan pemilihan parti, akan tetapi dalam mengharungi cabaran PRU, kita perlu mandat yang jelas dalam menentukan pucuk pimpinan yang akan membawa perjuangan kita.

"Saya dengan ini mencadangkan tambahan pada usul yang dibacakan tadi sebagai wadah membuat keputusan tertinggi parti dengan mencadangkan supaya kedudukan Datuk Seri Najib Razak dikekalkan sebagai Presiden UMNO, dan (Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Presiden UMNO.

"Kedua-dua jawatan ini tidak perlu dipertandingkan dengan sokongan sebulat suara daripada 191 bahagian (UMNO)," katanya dengan diiringi sorakan, sambil majoriti perwakilan dalam dewan berdiri tanda menyokong usul tambahan itu.

Beliau juga mencadangkan supaya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dikekalkan jawatan sedia ada, dan menjadi Naib Presiden UMNO paling kanan.

Memulakan ucapannya, Mohamad Sahfri beliau yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, mencadangkan lima usul.

Usul berkenaan ialah menyokong ucapan dasar Presiden UMNO; menyokong kupasan presiden parti berhubung hal ehwal rakyat terutama dalam meningkatkan ekonomi dan agihan saksama; menyokong pembentangan Bajet 2018 yang bersifat holistik dan amat menyentuh keperluan rakyat; memperakui Barisan Nasional (BN) berupaya untuk terus memimpin negara dan mendepani cabaran global serta memulakan tekad mengajak ahli UMNO dan BN mempertingkatkan solidariti bagi mendepani PRU dengan mentaliti menang.

Mohamad Sahfri juga menyatakan asas kepada kemenangan adalah wala' atau sifat taat setia.

"Dalam banyak sejarah dan asas Sirah Nabi dan para sahabat, kalau diusik sikap wala' ini, ia akan menggugat keamanan dan kestabilan negara.

"Bagaimana wala' menjadi asas strategi utama kepada kejayaan agama kita dan ia boleh dilihat ketika peristiwa Perang Badar, iaitu peperangan pertama dalam Islam," katanya.

381 dibaca
Berita Harian X