Khamis, 7 Disember 2017 | 5:05pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kiri) bersama Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizhat Abdul Jalil (empat dari kanan) dan Pengerusi Secretariat Pembangunan Keusahawanan dan Ekonomi Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad (kiri) bergambar bersama wakil dari Sabah yang merupakan pemenang Pameran Wanita Kreatif 2017 bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Wujud KPI perkasa usahawan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mewujudkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) khusus untuk mengukur tahap pemerkasaan usahawan wanita.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata KPI itu akan dilaksanakan di semua organisasi dan agensi di bawah kementerian itu mulai tahun depan.

Mustapha berkata, KPI memperkasa usahawan wanita di kementeriannya sudah wujud, bagaimanapun, usaha itu harus dipertingkatkan.

"Usaha itu bertepatan dengan kehendak kerajaan dan dasar yang cukup baik serta sudah dilaksanakan di Negara Eropah terutama Scandinavia

"Negara itu (Scandinavia) adalah yang paling hadapan dalam agenda ini dan negara kita sememangnya bergerak ke arah yang betul," katanya selepas melancarkan Pameran Wanita Kreatif di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini

Turut hadir merasmikan pameran itu Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, Shahrizat berkata agenda utama Wanita UMNO adalah memastikan setiap wanita di negara ini mempunyai dompetnya (pendapatan) sendiri.

Katanya, salah satu cara untuk wanita mempunyai kebebasan ekonomi adalah melalui keusahawanan.

"Kebebasan ekonomi ini akan membawa kemantapan bukan hanya pada diri mereka sendiri tetapi keluarga dan komuniti," katanya.

65 dibaca
Berita Harian X