Khamis, 7 Disember 2017 | 5:32pm
PERWAKILAN UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said. - Foto Syarafiq Abd Samad

UMNO miliki 'madu' terbaik

KUALA LUMPUR: UMNO harus keluar daripada kepompong Melayu untuk menjaga 'madunya' iaitu GERAKAN dan MCA bagi merampas kembali Pulau Pinang.

Perwakilan UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said, menyifatkan MCA dan GERAKAN yang mewakili masyarakat Cina sebagai sahabat terbaik dalam lingkaran parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua parti yang ketika ini berada dalam keadaan duka lara perlu dibantu daripada pelbagai aspek bagi membantu misi menumbangkan pemerintahan DAP di Pulau Pinang.

"Kita tidak boleh biar MCA dan GERAKAN semakin jauh, sebaliknya mereka perlu dibantu untuk bangkit menentang DAP serta merampas kembali Pulau Pinang.

"MCA, GERAKAN dan UMNO ini sebenarnya umpama sepasang kasut, satu hilang maka sebelah lagi tak berguna lagi. Walaupun tak melangkah seiring, tapi menuju ke destinasi yang sama.

"Sejarah membuktikan, MCA dan GERAKAN adalah rakan setia kita. Mereka madu terhebat kerana pada saat ini susah nak cari madu asli dan terbaik.

"Kalau tak percaya, pi (pergi) tanya Datuk Seri Reezal Merican (Naina Merican) sama ada susah atau senang nak cari madu baik," katanya mencuit hati lautan perwakilan merah yang membanjiri Dewan Merdeka di sini, hari ini.

Keletah Mohd Zaidi yang mengenakan persalinan baju Melayu merah itu ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden turut mengundang celahan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

"FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) juai madu hat tak ada kaki. Madu asli, semut tak mai punya," kata Badruddin dalam nada berseloroh ketika menjawab soalan Mohd Zaidi mengenai kriteria 'madu' terbaik.

Menyambung perbahasan, Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, perubahan sewajarnya perlu dirintis parti keramat Melayu itu, selaras usianya menjengah 71 tahun.

Katanya, gerak kerja parti perlu keluar daripada batas yang memagari kepentingan orang Melayu supaya dilihat lebih menyeluruh dan memangkin kejayaan rakan komponen BN.

"UMNO baharu ini kena ubah corak politik menerusi gerak kerja menangani bahan negatif yang disebarkan di media sosial kerana ia 'membunuh' kita.

"Jangan biarkan persepsi dan tuduhan liar ini menjadi viral tanpa dikekang sebelum akhirnya memakan kita daripada dalam menjelang PRU-14," katanya.

Dalam nada sinis, Mohd Zaidi berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melakar pelbagai rekod baharu sejak kebelakangan ini menerusi episod banjir dan runtuhan cerun bukit di negeri terbabit.

Katanya, pemerintahan Setiausaha Agung DAP itu menempa rekod kebangsaan apabila Pulau Pinang dilanda banjir 119 kali sejak 2013, selain 131 insiden tanah runtuh di cerun bukit dari tempoh 15 September hingga 24 November lalu.

"Paling pelik ialah banjir masih tidak surut walaupun Datuk Zahid (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Datuk Hishammuddin (Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein) turun ke Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, apabila Datuk Seri Najib (Razak) dan isteri, Datin Seri Rosmah (Mansor) jejak saja kaki mereka di Pulau Pinang... teruih (terus) surut.

"Jadi saya harap, Datuk Najib teruih mai ke Pulau Pinang bila banjir sebab ayaq tu hanya nak surut lepaih kena kaki dia," katanya dalam longhat Utara seraya mendapat tepukan gemuruh perwakilan.

301 dibaca
Berita Harian X