Khamis, 7 Disember 2017 | 5:32pm
KETUA UMNO Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaludin. - Foto Muhaizan Yahya

DAP tunjuk kebiadapan yang makin melampau

KUALA LUMPUR: DAP dan sesiapa sahaja yang bersekongkol dan bertuankan parti yang penuh sikap perkauman itu adalah musuh sebenar kepada UMNO yang perlu diperangi habis-habisan.

Ketua UMNO Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaludin, berkata di Perak sendiri, DAP semakin mempamer kebiadapan, menunjukkan sikap perkauman yang melampau, mencarut selain menghina pemimpin UMNO.

"DAP menunjukkan kebiadapan yang semakin melampau tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat negara.

"Inilah musuh kita DAP, inilah musuh sebenar yang perlu kita perangi habis-habisan, sesiapa sahaja bersekongkol dengan DAP, bertuankan DAP, mengikut telunjuk DAP, itulah musuh kita," katanya ketika menyokong usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata, segala perselisihan dalaman UMNO perlu diketepikan bagi mendepani musuh sebenar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Isu dalaman parti yang berbangkit terutama mengenai calon perlu diselesaikan secara baik agar kekuatan dan perpaduan parti kekal terpelihara," katanya.

Beliau berkata, ahli UMNO juga dituntut untuk memberi kesetiaan dan pengorbanan demi perjuangan parti.

"Biar apa jua halangan dan tentangan kita tetap menumpahkan kesetiaan kepada parti. Malah perlu bersedia untuk berubah dan sentiasa cari ruang untuk perbaiki kelemahan.

"Ini sebaik-baik sifat untuk menjana kemenangan, jangan cepat berpuashati, jangan mudah rasa selesa, perlu sentiasa fikirkan apa lagi usaha yang perlu dilakukan supaya parti keramat ini menempah kejayaan," katanya.

322 dibaca
Berita Harian X