Khamis, 7 Disember 2017 | 5:44pm
A. Latiff Awang berucap membahaskan usul ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).- Foto Syarafiq Abd Samad

UMNO, Melayu saling memerlukan

KUALA LUMPUR: UMNO dan Melayu tidak dapat dipisahkan berikutan masing-masing saling memerlukan demi masa depan bangsa dan negara.

Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiff Awang, berkata parti itu jelas mengutamakan kebajikan anak Melayu sejak dulu, kini dan selamanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu sepakat menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kesinambungan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Namun jangan kita leka, UMNO perlu terus turun 'padang' ke semua kawasan dan pelusuk negara, tidak kira bandar atau kampung, kita kena laksanakan tugas masing-masing. Perjalanan bangsa masih jauh, tiada titik noktah. Roh perjuangan tidak berubah, masih relevan dengan situasi terkini.

"Ia selama-lamanya berpaksikan agama bangsa tanah air, selagi Melayu berkuasa selagi itu Melayu tidak akan hilang di dunia ini," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kaedah kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, dalam menangkis tohmahan dan fitnah pihak pembangkang wajar dicontohi di peringkat bahagian dan pusat parti.

"Presiden (UMNO) bersahaja menangani masalah dan cabaran yang mendatang, UMNO perlu bersyukur beliau mempunyai jiwa kental, sentiasa tenang ketika 'diserang' pembangkang.

"Saya yakin kekuatan UMNO dapat bertahan lama kerana mempunyai pemimpin bijak dan isitiqamah, lahirnya pemimpin seperti ini adalah anugerah Allah kepada kita," katanya.

118 dibaca
Berita Harian X