Jumaat, 8 Disember 2017 | 10:08am
WAKIL mahasiswa nasional, Ammar Adnan, ketika membahasakan ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Mahasiswa mahu subsidi minyak, biasiswa PTPTN

KUALA LUMPUR: Terkesan dengan ketidaktentuan harga minyak ketika ini, mahasiswa mahu supaya program subsidi Minyak Siswa 1Malaysia diperkenalkan sebagai langkah mengurangkan beban ditanggung golongan itu.

Cadangan itu dilontarkan wakil mahasiswa nasional, Ammar Adnan, ketika membahasakan ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau yang juga mahasiswa dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), berkata subsidi itu mestilah terhad hanya kepada mahasiswa yang memiliki motosikal di bawah 150 cc.

"Stesen minyak pula terhad hanya kepada Petronas saja...ingat ya Petronas, bukan Petron," katanya.

Menggunakan kesempatan berucap di hadapan pemimpin negara, beliau juga mahu penukaran pinjaman, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa kepada graduan yang menamatkan pengajian di kelas kedua tertinggi.

Bagaimanapun, katanya, penukaran status pinjaman kepada biasiswa itu hanya terhad kepada graduan dari kumpulan keluarga berpendapatan rendah atau B40.

"Mahasiswa berbincang dan ingin supaya pinjaman dalam kalangan graduan B40 yang berjaya menamatkan pengajian (CGPA) di kelas kedua tertinggi diberi penukaran pinjaman (PTPTN) kepada biasiswa.

"Langkah ini secara tidak langsung banyak membantu graduan untuk membantu keluarga mereka," katanya.

Mengakhiri ucapan, beliau turut mengingatkan perwakilan dan pemimpin akar umbi yang berada di dewan terbabit supaya berkerja bersungguh-sungguh memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.


REAKSI perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Asyraf Hamzah

1168 dibaca
Berita Harian X