;
Jumaat, 8 Disember 2017 | 2:56pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Aizuddin Saad

'Cuba Kit Siang buat kenyataan terbuka'

KUALA LUMPUR: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dicabar membuat kenyataan terbuka bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengamal kleptokrasi susulan kegagalan memulangkan kerugian urus niaga mata wang asing (forex) bernilai RM31.5 bilion.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kenyataan terbuka itu wajar dibuat dalam kes menyelamatkan PERWAJA, syarikat perkapalan milik anak Dr Mahathir, Mirzan dan Malaysia Airlines (MAS).

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata, Kit Siang mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Siasatan (RCI) Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an diwujudkan sekarang.

"Kenapa RCI tidak diwujudkan ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri? Laporan RCI itu membongkar ada pihak yang mahu menutupnya dan melaporkan ke Kabinet ia hanya 'paper lost' manakala dilaporkan cuma RM5 bilion.

"Siapa yang bermain politik dan bermotif politik? RCI dibentuk walaupun sudah lama berlaku kerana ditutup oleh seorang diktator dan selepas ada pihak seperti (bekas Penolong Gabenor BNM) Datuk Abdul Murad (Khalid) tampil membuat pendedahan.

"Maka siapakah pengamal kleptokrasi sebenarnya? Kerugian forex RM31.5 bilion tidak akan dapat diganti sampai bila-bila. Duit rakyat hangus begitu saja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Laporan terbabit dibentang di Parlimen, Khamis minggu lalu.

Mohd Puad berkata, Dr Mahathir mendakwa banyak hujahnya ketika dipanggil oleh RCI tidak dimasukkan dalam laporan suruhanjaya itu, sekali gus mendakwa penubuhan RCI bermotif politik.

"Apa masalahnya? Dr Mahathir boleh kemukakan hujah kalau dipanggil ke mahkamah nanti. Pihak RCI sudah membuat laporan polis supaya tindakan lanjut diambil.

"Sudah tentu Dr Mahathir, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), (Tun) Daim (Zainuddin) dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak senang duduk.

"Bermotif politik? Apakah pembohongan Dr Mahathir mengenai isu 1MDB bukan bermotifkan politik? Apakah menaja pelobi Amerika supaya kes itu dibawa oleh DOJ (Jabatan Kehakiman) untuk tindakan sivil bukan bermotif politik?

"Sampai ke hari ini walaupun sudah masuk DOJ 2.0 saman sivil itu tidak pernah dibicarakan. Apakah mahkamah Amerika terlalu lemah kerana saman sivil hampir tiga tahun itu masih tidak ada bukti untuk dibicarakan," katanya.

Mohd Puad berkata, 1MDB hanya berhutang RM42 bilion untuk membeli aset, bukan dicuri dan Perdana Menteri tidak menyelamatkan syarikat berkenaan.

"RM2.6 bilion bukan dari 1MDB. Hutang jangka pendek 1MDB berjumlah RM18 bilion sudah selesai dibayar, malah 1MDB sudah mula menampakkan keuntungan.

"Tun Razak Exchange (TRX) akan menjana RM40 bilion dan 40,000 pekerjaan. Bandar Malaysia akan menjana RM170 bilion dan 200,000 peluang pekerjaan. Menara Warisan Merdeka PNB akan menyediakan 10,000 peluang pekerjaan," katanya.

983 dibaca
Berita Harian X