Sabtu, 9 Disember 2017 | 7:29pm

'Tiada calon lain bagi Presiden, Timbalan Presiden'

KUALA LUMPUR: Pencalonan mana-mana individu bagi mencabar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan tahun depan terbatal secara automatik, kata Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO berkata, ia berikutan usul diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) yang memutuskan beliau sebagai Presiden dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalannya, menepati kehendak perlembagaan parti.

Katanya, ketiga-tiga jawatan Naib Presiden UMNO akan dipertandingkan, namun kepemimpinan mengharapkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku penyandang menang dengan undi tertinggi.

"Jawatan Naib Presiden dipertandingkan secara terbuka, namun satu daripadanya kita harap Hishammuddin menang dengan undi tertinggi.

"Kita akan beri sokongan padu (kepada Hishammuddin)," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Najib yang juga Perdana Menteri diminta mengulas sama ada ketiga-tiga jawatan naib Presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan akan datang atau satu daripadanya diserahkan kepada Hishammuddin.

Semalam, perwakilan sebulat suara meluluskan usul tambahan Pemuda UMNO supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemillihan tahun depan demi perpaduan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengenai mutu perbahasan, Najib berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO berpuas hati kerana mereka menjaga ketertiban, tiada juru cakap 'menembak kaki sendiri' atau tersasul.

"Mutu perbahasan kali ini luar biasa. Tiada jurucakap 'tembak kaki sendiri'. Perjuangan UMNO adalah untuk semua rakyat Malaysia, bukan saja Melayu," katanya.

Najib turut tertarik dengan perbahasan mengenai menangani kos sara hidup yang membawa kepada penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup.

"Saya akan melancarkan Kedai Rakyat Satu Malaysia (KRIM) 2.0 yang menjual barangan jenama popular pada harga berpatutan," katanya.

341 dibaca
DATUK Seri Najib Razak bersama Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta kepimpinan parti menyanyikan lagu Warisan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X