Selasa, 26 Disember 2017 | 3:27pm
KETUA Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi (kanan). - Foto Muhammad Sulaiman

PAN Selangor nafi berebut kerusi DUN

SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) Selangor menafikan berlaku perebutan kerusi yang akan ditandingi antara pihaknya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Pemudanya, Abbas Azmi, berkata PAN konsisten dengan pendirian mahu bertanding kerusi DUN yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun bersedia berbincang dengan PPBM berhubung agihan kerusi itu.

"Seperti yang dinyatakan Pengerusi negeri (Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim), pihak kami akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PAS pada PRU-13.

"Kita tidak minat dengan kerusi PKR atau DAP dan ini adalah pendirian kita.

"Jika PPBM turut berminat dengan kerusi yang PAN mahukan, kita akan berbincang mengenainya dan ia bukan masalah besar pun," katanya kepada di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai desas-desus berlaku perebutan kerusi yang akan ditandingi pada PRU-14 antara PAN dan PPBM.

Difahamkan, PAN juga terpaksa mengurangkan bilangan kerusi yang ditandingi di negeri ini untuk memberi laluan kepada PPBM.

PAN konsisten mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Klang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddi yang masing-masing menang di kerusi berkenaan pada PRU13 atas tiket PAS, keluar dari parti itu untuk menyertai PAN.

Sebelum ini, PAN Selangor mengingatkan parti yang lebih lama berada dalam Pakatan Harapan tidak kedekut dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.

Berikutan itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi menyindir PAN yang disifatkannya 'tidak sedar diri' apabila yakin mampu merampas 13 kerusi DUN Selangor yang kini disandang PAS.

2935 dibaca
Berita Harian X