Isnin, 8 Januari 2018 | 12:13pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Reformasi Pakatan Harapan seperti deklarasi sebelumnya

KUALA LUMPUR: Senarai reformasi yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan sama seperti salinan deklarasi sebelumnya yang dibuat sejak 20 tahun lalu, sejak 1998.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata reformasi teras 13 perkara itu antara pengumuman yang dibuat yang akan dilaksanakan dengan segera, jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Sebagai contoh, perkara mengenai reformasi Parlimen dan menjadikannya sebuah institusi bebas diulang-ulang selama lebih 20 tahun.

"Sistem Parlimen Malaysia berfungsi seperti sistem Westminster Britsih yang menyaksikan anggota Parlimen mengundi mengikut parti dan tidak seperti Senat/Kongres di Amerika Syarikat apabila anggota Senat/Kongres mengundi bukan berdasarkan parti.

"Jadi, bagaimana pakatan hendak memenuhi janji ini sedangkan mereka memecat anggota parti sendiri yang contohnya, mengundi menyokong rang undang-undang kerajaan?," kata Salleh menerusi catatan dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.com, malam tadi.

Beliau juga berkata, yang anehnya ialah dahulu, agenda reformasi 13 perkara itu sebab yang diberikan oleh pembangkang tentang alasan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad harus disingkirkan.

"Kita perlu menyingkirkan Mahathir, kata mereka, supaya reformasi dapat dilaksanakan, dan selagi Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri, Malaysia tidak akan "melihat" reformasi.

"Hari ini, mereka memberitahu kita Mahathir mengetuai agenda reformasi ini. Dan untuk menjadikan Mahathir perdana menteri mereka, untuk membantu memperjuangkan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara, sedangkan Anwar dipenjarakan pada 1998 disebabkan Mahathir. Ini situasi yang sangat mengelirukan," kata beliau.

Pakatan Harapan semalam mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri, jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. - BERNAMA

1459 dibaca
Berita Harian X