Isnin, 8 Januari 2018 | 3:18pm
SKetua Parti Amanah Negara (PAN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Serahkan jawatan PM kepada Anwar

SEREMBAN: Pakatan pembangkang ketandusan calon sehingga terpaksa menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Parti Amanah Negara (PAN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, berkata walaupun pembangkang mahu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, keadaan belum mengizinkan mereka berbuat demikian.

"Beliau masih dalam penjara dan kalau kita calonkan beliau, nanti apa kata orang.

"Kalau kita mahu letakkan calon lain, ramai yang masih muda dan penyokong (pembangkang) mungkin tidak setuju dan mempertikaikan tindakan itu.

"Dalam keadaan sekarang, kita setuju letak Dr Mahathir (sebagai calon) tapi kita mahu beliau menyerahkan jawatan itu kepada Anwar melalui proses yang sewajarnya selepas menang PRU-14," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pakatan pembangkang semalam mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, jika pembangkang memenangi PRU-14.

Mengulas lanjut, Zulkefly tidak menolak hakikat mungkin ada perbezaan pendapat dalam kalangan kepemimpinan pakatan pembangkang, namun semua pihak berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk menang PRU-14 terlebih dahulu.

"Menang PRU-14 adalah keutamaan kita, selepas menang kita akan teruskan perbincangan (pemimpin pakatan pembangkang) untuk mencari penyelesaian bagi setiap perbezaan pendapat," katanya.

1636 dibaca
Berita Harian X