Sabtu, 13 Januari 2018 | 3:04pm
TENGKU Adnan melawat Perpustakaan 1 Wilayah Persekutuan Medan Idaman di Taman Danau Kota. - Foto Rosela Ismail

Pembangkang ketandusan pemimpin: Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang ketandusan pemimpin sehingga sanggup mencalonkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah mengumumkan persaraan dalam pentadbiran negara untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata zaman Dr Mahathir sudah berakhir dan tidak lagi sesuai untuk kembali mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Saya pun hairan kenapa Dr Mahathir dikitar semula untuk kembali mentadbir negara. Ada baiknya Dr Mahathir akur masa sekarang berbeza dengan era beliau menjadi Perdana Menteri dan terimalah hakikat zaman sudah berubah.

"Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) sudah melakukan yang terbaik untuk mentadbir negara ke arah negara maju, aman dan lestari," katanya kepada media selepas merasmikan Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman di Setapak, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas konvensyen pakatan di Shah Alam, Ahad lalu yang mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri jika pembangkang memenangi PRU-14, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pula sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, PRU-14 adalah masa terbaik menolak pembangkang yang tidak memiliki pemimpin berwibawa, sebaliknya hanya bergantung kepada pemimpin kitar semula.

Ditanya pembahagian kerusi BN dan senarai calon untuk menghadapi PRU-14 sama ada sudah dimuktamadkan atau sebaliknya, beliau enggan memberi sebarang ulasan.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP), Tan Sri M Kayveas berkata, pucuk kepemimpinan tertinggi BN belum memutuskan sama ada kerusi Parlimen Cameron Highlands ditandingi partinya, kekal milik MIC atau calon langsung BN.

"Kita tunggu sajalah keputusannya diumumkan Najib. MyPPP akan terus bekerja keras untuk menyelesaikan masalah rakyat kawasan itu agar terus menyokong BN," katanya.

541 dibaca
Berita Harian X