Isnin, 29 Januari 2018 | 2:39pm
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Kerjasama PAS: PKR nafi dakwaan PAN

SHAH ALAM: PKR menafikan dakwaan parti itu masih cuba memujuk PAS untuk mewujudkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tuduhan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Jamzuri Ardani terhadap parti itu, bahawa terdapat rundingan antara PKR dan PAS dibuat tanpa fakta kukuh.

"Tidak mengapa, itu pandangan (beliau). Saya harap kenyataan yang hendak dibuat itu biarlah berasas, tidak boleh keluar kenyataan tanpa asas.

"Adalah tidak sepatutnya berlaku apabila mana-mana individu cuba memperlekehkan parti lain," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jamzuri dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) Selangor masih gagal mengadakan rundingan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada PRU-14.

Beliau turut mendakwa keadaan itu akan berterusan kerana PKR masih berusaha mendapatkan sokongan PAS, termasuk mempercayai PH akan gagal tanpa bantuan PAS.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, perbincangan berhubung pengagihan kerusi DUN antara PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih berjalan.

"Kenapa perlu tumpu pembahagian kerusi DUN Selangor saja. Seluruh negara belum selesai bincang. Walaupun peringkat kerusi Parlimen sudah selesai, tetapi ia masih ada perbincangan untuk memastikan kemenangan PH.

"Faktor kemenangan kerusi adalah lebih penting daripada menetapkan tempoh tertentu untuk selesaikan pembahagian kerusi," katanya.

Ditanya sama ada beliau kekal bertanding kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat kepemimpinan PH.

4539 dibaca
Berita Harian X