Ahad, 11 March 2018 | 5:05pm
KETUA Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran. - Foto L Manimaran

Manifesto BN mesra orang muda praktikal, holistik

KUALA LUMPUR: Manifesto mesra generasi muda ditampilkan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), adalah janji praktikal dan boleh dicapai secara efisien.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran, berkata ia adalah manifesto istimewa 'khusus untuk golongan belia buat pertama kalinya' oleh BN bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, usaha itu akan memberi keyakinan kepada golongan muda bahawa BN adalah parti pilihan mereka kerana memiliki perancangan proaktif.

"BN sentiasa mendengar denyutan nadi orang muda dalam membentuk dasar serta pelan pembangunan negara, dan manifesto mesra golongan ini membuktikan kita amat mementingkan masa depan generasi akan datang.

"Kesemua manifesto ini dibuat selepas analisis dan beberapa perjumpaan serta perbincangan dengan orang muda dan sayap Pemuda parti komponen sebelum dibentangkan kepada kepemimpinan, menjadikan ia holistik serta menarik," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Najib ketika berucap pada pelancaran Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN Peringkat Kebangsaan di Muar, semalam memberi jaminan manifesto akan dibentang BN untuk menghadapi PRU-14, dipastikan mesra generasi muda yang menjadi aset penting negara.

Beliau menegaskan, langkah itu diambil kerana BN serius membangunkan keperluan generasi muda negara, berbanding pembangkang.

Perdana Menteri berkata, BN ada perancangan jelas dan teratur untuk masa depan generasi muda negara ini, jika terus diberi mandat pada PRU-14 nanti.

Mengulas lanjut, Sivarraajh berkata, semua janji manifesto itu adalah penyelesaian kepada dilema dihadapi golongan muda seperti dalam aspek peningkatan kemahiran selaras keperluan industri dan negara, perumahan, kos sara hidup, pendapatan serta keusahawanan.

"Ini jauh berbeza dengan manifesto pakatan harapan (PH) yang hanya menabur janji manis tetapi tidak praktikal.

"Janji pembangkang tidak ada penjelasan dan ia sama seperti janji retorik pakatan mereka yang dijaja dalam PRU-13 pada 2008," katanya.

Sementara itu, Pemuda MCA percaya anak muda hari ini jauh lebih berwawasan untuk menjadi pemimpin masa depan melalui keberanian yang ditonjolkan.

Naib Ketuanya, Nicole Wong Siaw Ting, berkata justeru BN mahu memperkasakan orang muda yang kreatif, inovatif dan bijak untuk menyalurkan kemahiran serta idea mereka secara positif.

"Oleh itu, kita menyokong sepenuhnya Perdana Menteri membentangkan manifesto mesra belia untuk mendengar dan menjaga keperluan anak muda.

"Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, BN akan dan harus memberi tumpuan untuk menyediakan peluang saksama kepada golongan muda tanpa mengira bangsa.

"Kami juga berharap manifesto BN untuk belia akan memberi tumpuan terhadap usaha menggalakkan pertumbuhan inklusif seperti persekitaran kondusif, termasuk dasar dan insentif untuk membantu golongan muda memulakan perniagaan mereka," katanya.

Katanya, ia meliputi penyediaan pendidikan vokasional dan latihan untuk pekerja muda yang tidak atau separa mahir, sekali gus meningkatkan tahap keupayaan mereka mendapatkan pekerjaan lebih baik.

627 dibaca
Berita Harian X