Ahad, 11 March 2018 | 9:23pm
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir bagi Daerah Kulim di Dewan Laksamana, SMK Dato Lela Pahlawan,Padang Serai. - Foto Omar Osman
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyampaikan bantuan wang insan kepada mangsa banjir bagi Daerah Kulim di Dewan Laksamana,SMK Dato Lela Pahlawan,Padang Serai. - Foto Omar Osman

UMNO Kedah siap sedia

PADANG SERAI: UMNO Kedah sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika Parlimen dibubarkan lebih awal.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata UMNO dan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di seluruh negeri bersedia menghadapi PRU-14 pada bila-bila masa.

Katanya, jika betul Parlimen akan dibubarkan lebih awal, kerajaan negeri juga akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaik Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat pembubaran itu.

"Semua jentera UMNO di semua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dan parti komponen di setiap bahagian serta Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah bersedia sepenuhnya dan akan terus digerakkan sebaik pembubaran Parlimen dan DUN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Wang Ihsan kepada mangsa banjir bagi Daerah Kulim di Dewan Pahlawan, SMK Dato Lela Pahlawan Padang Serai di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 515 keluarga mangsa banjir daripada 26 kampung sekitar Kulim menerima bantuan Wang Ihsan berjumlah RM500.

BH hari ini melaporkan, Parlimen dijangka dibubarkan lebih awal iaitu pada 19 Mac atau selewat-lewatnya 26 Mac bagi membolehkan PRU Ke-14 diadakan.

Ini kerana Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semua Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada 19 Mac atau 26 Mac sebaik berakhirnya perbahasan usul menjunjung titah kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mohammad V yang sedang berjalan ketika ini.

Mengenai senarai calon UMNO di Kedah, Ahmad Bashah berkata, senarai nama calon yang dipilih sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Sehingga kini, saya belum menerima keputusan itu atau dipanggil berjumpa dengan Datuk Seri Najib bagi memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada PRU-14 nanti di Kedah.

"Tunggulah sampai terima keputusan daripada Perdana Menteri dan terpulang pada beliau untuk menentukan senarai calon," katanya.

506 dibaca
Berita Harian X