Isnin, 12 March 2018 | 9:50am

Pahang kekal kubu kuat BN

KUANTAN: Usaha pembangkang menembusi Pahang sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) dijangka gagal malah berkemungkinan bakal kehilangan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penganalisis politik berpendapat perpecahan undi dalam kalangan pengundi Melayu akan memberi kelebihan kepada BN di Parlimen Temerloh berikutan jangkaan pertandingan tiga penjuru termasuk pertembungan antara PAS dengan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN).

Selain itu, BN juga dijangka mampu memberi saingan sengit di kerusi Parlimen Kuantan yang sudah dua penggal diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 2008 jika 10 hingga 15 peratus pengundi Cina kembali menyokong BN.

BN dilihat mampu mengekalkan 10 kerusi Parlimen dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) termasuk Bentong.

Kekal majoriti dua pertiga

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN dilihat mampu mengetepikan cabaran pembangkang sekali gus mengekalkan majoriti dua pertiga atau sekurang-kurangnya menang 28 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri dengan mandat kukuh.


Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - Foto Farizul Hafiz Awang

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata beliau melihat tiada sebarang perubahan besar dijangka berlaku di Pahang pada PRU-14 dan ia akan tetap kekal menjadi kubu kuat BN walaupun ada cubaan daripada pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mohammad yang melawat ke Pekan, baru-baru ini.

"Pertembungan yang mungkin sengit dijangka di Parlimen Temerloh yang dimenangi PAS pada PRU-13 ketika masih bersama-sama pakatan pembangkang DAP serta PKR.

"Ketika itu mereka menang kerana mendapat sokongan pengundi Cina yang menyokong atas dasar ia mewakili pakatan pembangkang, kini apabila ia berpecah undi, itu mungkin akan diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) diwakili PAN.

"Undi Melayu juga akan berpecah kepada tiga, iaitu BN, PAS dan PAN. Dalam situasi ini, BN sebenarnya mempunyai peluang cerah untuk menangi sekiranya ada pertandingan tiga penjuru yang mungkin hampir berlaku," katanya.

Mengenai Parlimen Bentong, Nik Ahmad Kamal mengakui pertembungan sengit dijangka berlaku dalam usaha pembangkang menewaskan Tiong Lai yang sememangnya berdepan ujian getir apatah lagi beliau hanya menang dengan majoriti tipis pada PRU-13.

"Pembangkang akan berusaha keras memenanginya. Bagaimanapun, aliran pengundi Cina juga dijangka tidak berubah, Tiong Lai dijangka menang ditambah dengan sokongan pengundi Melayu di luar bandar serta kawasan FELDA," katanya.

Isu pembangkang tak relevan

Beliau berkata, pembangkang dilihat gagal menembusi Pahang sebagai kubu kuat BN kerana isu dibangkitkan tidak relevan, perpecahan undi orang Melayu dan 'kesetiaan' pengundi Melayu di luar bandar dan FELDA, terus menyokong BN.

"Pahang negeri besar dan kebanyakannya berada di luar bandar dan FELDA, jadi mereka kekal menyokong BN bagi meneruskan pembangunan.

"Dalam aspek sokongan peneroka FELDA yang kekal menyokong BN, mereka tidak termakan dengan isu nasional seperti kontroversi tanah miliknya di Jalan Semarak (Kuala Lumpur), mereka lebih cenderung kepada hal kebajikan serta harga sawit di pasaran," katanya.

Sementara itu, PH dan PAS Pahang masing-masing meramalkan untuk memenangi tujuh Parlimen dan 21 kawasan DUN, untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Pengerusi PH Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman, berkata pihaknya yakin mesej kesejahteraan rakyat yang dibawa mampu menawan pengundi di negeri ini.

"Pada 2008, pembangkang menang tiga kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen. Pada 2013 ia meningkat kepada 12 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen.

"Beri peluang kepada PH untuk memerintah dan jika gagal, boleh kembali kepada BN. Kita mahu amalkan demokrasi matang, yang beri pilihan kepada rakyat," katanya.

2219 dibaca
Berita Harian X