Isnin, 12 March 2018 | 5:58pm
TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) ketika sidang media bersempena pra pelancaran manifesto PAS yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. - Foto Eizairi Shamsudin

Baiah talak tiga berakhir?

KUALA LUMPUR: Lafaz taklik perceraian talak tiga yang diamalkan di Kelantan sejak 2004, dijangka tidak diguna pakai pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia berikutan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS belum menerima permohonan daripada mana-mana negeri berhubung pemakaian amalan itu.

Ia juga berdasarkan tiada wakil PAS dari Kelantan membangkitkan keperluan amalan itu dikekalkan di negeri berkenaan pada PRU-14 ketika mesyuarat MSU di Bangi, 24 Februari lalu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tiada permohonan dibuat wakil Kelantan kepada MSU untuk mengekalkan baiah talak tiga pada PRU-14.

"Jika ada permohonan, perkara itu akan dibincang dan dimuktamadkan di peringkat MSU.

"Daripada 14 negeri, hanya Kelantan mengamalkan baiah lafaz taklik talak tiga kerana situasi genting di negeri berkenaan yang berdepan tindakan khianat wakil rakyat hingga boleh menumbangkan kerajaan negeri.

"Harap begitulah (tiada keperluan untuk kekalkan baiah talak tiga), jika ada permohonan, kita akan bincang dan putuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di pejabat agung PAS di sini, hari ini.

Pada 24 Februari lalu, MSU memutuskan sumpah taat setia atau baiah akan diselaraskan untuk semua calon parti itu yang bertanding pada PRU-14.

Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dilaporkan berkata, sebarang penambahan termasuk lafaz taklik perceraian talak tiga bergantung kepada keperluan yang akan diteliti sebelum dimuktamadkan.

Pada 10 Februari lalu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, dilaporkan berkata, parti itu dijangka menggugurkan sumpah baiah talak tiga pada PRU-14 berikutan kesetiaan ahli dan kekuatan parti itu didakwa semakin kukuh.

Tuan Ibrahim berkata, sumpah baiah talak tiga adalah mekanisme untuk mengelak wakil rakyat membawa lari kerusi dan mengkhianati pengundi.

3520 dibaca
Berita Harian X