Rabu, 14 March 2018 | 10:53am
PEMANGKU Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan. - Foto Edmund Samunting

UMNO Sepanggar `berlapang dada'

KOTA KINABALU: UMNO Bahagian Sepanggar sedia menerima apa juga keputusan pimpinan parti dan Barisan Nasional (BN), termasuk jika 'orang luar' diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pemangku Ketuanya, Datuk Yakub Khan, berkata keutamaan UMNO dan BN di Sepanggar ketika ini adalah untuk mengekalkan kemenangan Parlimen itu serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, selain merampas semula DUN Inanam daripada pembangkang.

Katanya, pendekatan yang diambil Bahagian itu kini adalah meneruskan kerja kuat dan membantu menyelesaikan apa juga masalah dihadapi rakyat.

"Belum ada keputusan atau pengumuman oleh pucuk pimpinan (berhubung calon di Parlimen Sepanggar dan dua DUN dinaunginya). Tetapi apabila ada keputusan siapa calon, kita akan menyokong dan turun padang untuk membantu memastikan kemenangan termasuk calon parti komponen.

"Apa yang penting bagi UMNO dan BN adalah untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sepanggar dan DUN Karambunai serta merampas kembali DUN Inanam," katanya ketika dihubungi.

Yakub yang juga Pengerusi BN Sepanggar berkata, kerjasama kuat antara parti komponen BN di kawasan itu dilihat menjadi 'adunan' terbaik bagi meneruskan kecemerlangan BN Sepanggar.

Katanya, BN berpeluang cerah menawan semula DUN Inanam berdasarkan pembangunan dibawa kerajaan ke kawasan berkenaan, selain kerjasama baik antara parti komponen.

"Pada pandangan saya, tiada masalah untuk BN merampas semula DUN Inanam lebih-lebih lagi dengan kerjasama antara parti komponen yang mempunyai hala tuju sama," katanya.

Sebelum ini, ada ura-ura Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan akan diletakkan sebagai calon baharu di Sepanggar berikutan beberapa program turun padang yang dihadiri beliau di kawasan Parlimen berkenaan, kebelakangan ini.

Parlimen Sepanggar ketika ini disandang bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Jumat Idris yang kini digantung keahlian oleh UMNO selama tiga tahun sejak 2015, manakala penyandang kerusi DUN Karambunai ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad.

Kerusi DUN Inanam pula ketika ini disandang Dr Roland Chia yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada PRU-13.

1522 dibaca
Berita Harian X