Sabtu, 14 April 2018 | 5:00pm
KETUA Parti Amanah Negara (PAN) Kawasan Marang, Miqdad Zakaria.

Miqdad calon DUN Rhu Rendang

KUALA TERENGGANU: Ketua Parti Amanah Negara (PAN) Kawasan Marang, Miqdad Zakaria hampir pasti bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), bukannya di Parlimen Marang seperti digembar-gemburkan.

Kerusi DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang kini disandang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga bapa saudara kepada Miqdad.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Amir Long ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata, PAN akan meletakkan Dr Zarawi Sulong untuk sebagai calon bagi merebut kerusi Parlimen Marang.

"Saya sudah dapat pengesahan daripada pusat (PPBM Pusat) sebentar tadi, Miqdad akan disenaraikan sebagai calon untuk bertanding kerusi DUN Rhu Rendang, manakala (calon) parlimen Marang, Dr Zarawi.

"Apa yang saya tahu sebelum ini memang Miqdad hendak bertanding di Parlimen Marang tapi maklumat terbaru, kata dia dapat Rhu Rendang," katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan nama calon bagi pakatan pembangkang yang bertanding di Terengganu di Dungun, 19 April ini.

Sementara itu, ketika dihubungi menerusi pesanan Facebook, jurucakap PAN Terengganu, berkata nama Miqdad belum lagi dimuktamadkan sama ada akan bertanding di DUN Rhu Rendang atau Parlimen Marang.

Akhbar sebelum ini melaporkan Abdul Hadi mengambil keputusan untuk bertanding hanya satu kerusi saja pada PRU-14.

Bagaimanapun difahamkan, beliau masih belum membuat keputusan sama ada ingin bertanding di kerusi DUN atau Parlimen.

Pada PRU-13, Abdul Hadi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang menewaskan calon BN.

Abdul Hadi mula bertanding di kerusi Parlimen Marang sejak 1986 dan sepanjang tempoh itu, beliau memenangi lima daripada tujuh PRU.

4337 dibaca
Berita Harian X