Isnin, 16 April 2018 | 3:43pm
DATUK Seri Mukhriz Mahathir. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Mukhriz bertanding DUN mahu rebut jawatan MB?

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir didakwa ingin merebut jawatan Menteri Besar (MB) yang sebelum ini dijanjikan kepada individu lain apabila pengerusi pakatan pembangkang Kedah itu turut bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ainina Saadudin, mempersoalkan tindakan Mukhriz yang didakwa mempunyai muslihat tersendiri, selain gila kuasa apabila bertanding di DUN Jitra, selain di Parlimen Jerlun.

Ainina mendakwa, Mukhriz sebelum ini menawarkan jawatan MB kepada bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah sebagai taktik supaya menyertai PPBM.

Justeru, beliau mempersoalkan adakah Mukhriz berniat mempermainkan Amiruddin apabila penyandang DUN Ayer Hitam itu turut bertanding di DUN Jitra pada PRU-14 ini.

"Selepas Mukhriz menjanjikan jawatan MB kepada Amiruddin, mengapa beliau turut bertanding di DUN Jitra. Apa maksud Mukhriz, adakah jika pakatan pembangkang menang di Kedah, dia hanya menjadi EXCO dan jawatan MB diberikan kepada Amiruddin.

"Sekiranya Mukhriz bertanding di DUN Jitra selepas berjaya mengajak Amiruddin menyertai PPBM yang dijanjikan jawatan MB, saya anggap Mukhriz terserlah dengan dan sifat gila kuasa beliau, " katanya kepada BH, di sini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, mengumumkan Mukhriz akan bertanding di DUN Jitra dan Parlimen Jerlun, namun bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pula di Parlimen Langkawi, manakala Amiruddin di DUN Anak Bukit serta Parlimen Kubang Pasu.

Pada masa sama, Ainina berkata, tindakan Mukhriz sebelum ini menarik kemasukan Amiruddin ke dalam PPBM daripada PAS dan ditawarkan jawatan MB adalah bagi mengumpan undi ahli parti Islam itu pada PRU-14 kelak.

Justeru, katanya, ahli PAS di Kedah diminta tidak termakan dengan taktik Mukhriz itu kerana belum tentu jawatan MB diberikan kepada Amiruddin.

"Pakatan pembangkang ini sebenarnya tidak yakin menang di Putrajaya, jadi dia buat begitu (ambil Amiruddin) untuk tarik ahli PAS supaya undi mereka. Jadi saya minta jangan tertipu dengan Mukhriz, " katanya.

Sementara itu, beliau berkata, keputusan Dr Mahathir bertanding di Parlimen Langkawi disifatkan sebagai kesilapan terbesar bekas Perdana Menteri itu sepanjang hayatnya.

Ini kerana, Dr Mahathir tentunya menganggap pengundi Langkawi akan memilih beliau atas dasar kasihan berikutan faktor usianya yang sudah lanjut.

"Sebenarnya Dr Mahathir sendiri tak yakin menang, jadi dia pilih Langkawi kerana menganggap pengundi kasihan sebab dia orang tua... saya tak rasa orang Langkawi akan berbuat demikian, " katanya.

3640 dibaca
Berita Harian X