Isnin, 16 April 2018 | 5:19pm
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow (tengah) semasa sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

DAP PP sedia `rumah tak mampu milik'

GEORGETOWN: Barisan Nasional (BN) komited merealisasikan setiap impian rakyat Pulau Pinang memiliki rumah sendiri, jika parti itu diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda BN negeri, Jason Loo, berkata perkara itu menjadi antara insentif utama yang ditawarkan dalam Manifesto BN Pulau Pinang.

Beliau berkata, BN negeri akan memastikan setiap pemaju membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah kos rendah dan sederhana dalam setiap projek mereka.

Katanya, harga jualan bagi rumah kos rendah juga akan ditetapkan pada RM40,000 seunit, manakala rumah kos sederhana rendah antara RM80,000 dan RM120,000, selain pemaju wajib menyediakan satu unit tempat letak kereta untuk kedua-dua jenis kediaman terbabit.

"Sejak DAP menerajui Pulau Pinang pada 2008, kerajaan negeri dan pemaju swasta membina 82 peratus rumah mampu milik, namun hanya 18 peratus daripadanya adalah kediaman kos rendah dan sederhana.

"Dasar perumahan kerajaan negeri menetapkan kediaman mampu milik di Pulau Pinang adalah pada harga antara RM300,000 dan RM400,000 seunit.

"Kajian menunjukkan 49 peratus rakyat Pulau Pinang memperoleh pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan.

"Bagi mereka yang memperoleh pendapatan isi rumah RM8,000, mereka hanya mampu membeli rumah yang berharga RM200,000," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, dasar perumahan yang tidak mampu milik itu menjelaskan mengapa 69.3 peratus rakyat Pulau Pinang berpendapat rumah mampu milik di negeri ini masih tidak mampu dibeli.

345 dibaca
Berita Harian X