Isnin, 16 April 2018 | 6:49pm
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat plan peta pembinaan pada majlis perasmian medan selera Bahau dan projek pusat komersial Bahau oleh Yayasan Negeri Sembilan sempena lawatan kerja Menteri Besar Negeri ke Parlimen Jempol. - Foto Hazreen Mohamad

'Khabar angin hanya perang psikologi'

BAHAU: Walaupun sudah berulang kali Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), khabar angin beliau akan beralih ke kerusi Parlimen tetap belum reda.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, beliau percaya khabar angin itu sengaja disebarkan pihak tertentu untuk menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penyokong dan pengundinya.

"Ini sebenarnya perang psikologi yang dilancar untuk membuatkan penyokong saya gelisah. Pihak terbabit tahu, saya adalah tambatan BN Negeri Sembilan dan besar kemungkinan akan terus dipilih menjadi Menteri Besar sekali lagi jika bertanding di DUN Rantau.

"Biasalah, ini (penyebaran khabar angin) politik. Ada politik dari dalam dan ada politik dari luar tetapi biasanya dari luarlah.

"Ini cara mereka supaya orang parti kacau-bilau dan juga mengganggu tumpuan saya. Namun, saya tidak akan hilang tumpuan (dalam menghadapi PRU-14)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Niaga Bahau di sini, hari ini.

Mohamad mengulas mengenai khabar angin yang masih bertiup kencang kononnya beliau akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU nanti bagi membolehkannya dilantik sebagai menteri dalam kabinet baharu kerajaan.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan serta korporat sebelum menyertai arena politik, dikata mampu memainkan peranan dengan cemerlang jika memegang portfolio berkaitan perdagangan dan industri.

Sementara itu, Medan Niaga Bahau yang dahulu dikenali sebagai Pusat Penjaja Bahau, dilengkapi 112 unit gerai dan pelbagai kemudahan awam yang dibina membabitkan kos RM3.975 juta.

538 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »