Isnin, 16 April 2018 | 7:36pm
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow semasa sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Guan Eng digesa nafi kenyataan Tun M

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dicabar menafikan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembangkang hanya mencari populariti apabila berjanji mahu menghapuskan tol dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, berkata adalah sesuatu yang pelik apabila Guan Eng sehingga kini masih berdiam dalam isu berkenaan.

Dr Mahathir dalam temuramah bersama akhbar Straits Times Singapura yang diterbitkan pada 25 Mac lalu, dipetik berkata: "Ada ketika, saya berasakan kita mungkin tidak dapat menunaikan janji kita. Parti kami, rakan pakatan kami mereka suka memberi benda kepada orang ramai.

"Saya sudah beritahu mereka ini tidak boleh dilakukan. Kamu mahu membuang semua tol dan membuatkannya semua percuma. Saya jelaskan, kita perlu menyelenggara jalan. Kita perlu bina banyak lagi jalan.

"Dari mana kita akan dapat dana bagi penyelenggaraan ini? Tetapi mereka mahu populariti, disebabkan itu mereka membuat janji."

Chang Yeow berkata, Guan Eng memintanya supaya tidak menipu dalam janji berkaitan penghapusan tol secara berperingkat di negeri itu.

"Saya ingin tekankan, dalam muka surat 28 Buku Harapan, mereka berjanji lebih besar apabila mahu menghapuskan semua tol.

"Adakah Guan Eng tidak membaca manifesto mereka sendiri? Dia perlu membaca manifesto sendiri terlebih dahulu sebelum menuduh orang lain menipu," katanya ketika ditemui di Pejabat GERAKAN Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Isu menghapuskan tol timbul susulan janji pembangkang mahu melakukannya jika menang pilihan raya kali ini, namun Dr Mahathir tidak bersetuju dan mengatakannya hanya satu usaha untuk meraih populariti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam lawatannya minggu lalu mengumumkan, BN akan menghapuskan bayaran tol motosikal Jambatan Pulau Pinang, jika menang di negeri itu.

Kerajaan negeri kemudian mengumumkan akan menghapuskan semua tol di Jambatan Pulau Pinang, jika berjaya menawan Putrajaya.

1734 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »