Jumaat, 27 April 2018 | 10:36pm
PETUGAS Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Muhaimin Abdul Rahman melakukan persiapan menjelang hari Penamaan Calon PRU-14 bagi Parlimen P.110 Parlimen Klang di Dewan Sukan Pandamaran Klang. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

'Ibu' segala pilihan raya bermula

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang digelar ibu segala pilihan raya bermula dengan penamaan calon esok bagi memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), seterusnya membentuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri baharu.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN dipertandingkan untuk dipilih oleh 14.9 juta pengundi di seluruh negara.

Bagaimanapun Sarawak hanya membabitkan kerusi Parlimen kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada Mei tahun lalu.

PRU-14 dikatakan antara paling menarik dan menjadi tumpuan apabila muncul beberapa parti baharu kesan pergolakan dan krisis dalaman parti, termasuk UMNO.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah di bawah kepemimpinan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditubuhkan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Shafie dipecat daripada UMNO.

Pakatan pembangkang juga tidak sepi daripada pergolakan apabila perpecahan berlaku dalam PAS sehingga menyebabkan penubuhan serpihan Parti Amanah Negara (PAN).

PAS pula meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sehingga memaksa DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membentuk pakatan baharu bersama PPBM, tetapi gagal mendaftar gabungan secara rasmi berikutan pergantungan sementara PPBM.

Ia menyebabkan pakatan pembangkang menggunakan simbol PKR kali ini. Namun menerima bantahan daripada ahli DAP dan PKR sendiri.

Akar umbi juga secara terbuka menentang gabungan kerjasama Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Perpecahan dalam pakatan pembangkang juga menjadikan peluang mereka mencabar Barisan Nasional (BN) makin tipis kali ini , walaupun mampu menyekat kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mencapai kemenangan dua pertiga pada PRU-13 lalu.

Bagaimanapun, penganalisis politik memberi amaran perpecahan dalam kem pembangkang tidak semestinya membuka laluan mudah kepada BN. Ketika mereka meramalkan BN masih berupaya mencatatkan kemenangan, cabaran tetap ada sehinggalah hari mengundi pada 9 Mei depan.

Turut menarik perhatian kali ini adalah dakwaan penentang PAS kononnya parti itu bersekongkol dengan UMNO, kononnya untuk memecahkan undi, sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

Bagaimanapun, ia dinafikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Awang yang mendakwa parti itu hanya mahu menjadi kuasa ketiga, sekali gus bertindak sebagai kuasa penentu (King Maker) jika kedua-dua lawannya gagal menang majoriti mudah sama ada di peringkat DUN atau Parlimen.

Dalam perkembangan lain, pilihan raya kali ini bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di kebanyakan kerusi, khususnya selepas PAS membentuk gabungan baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) , Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Generasi Baru (PGB) yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Di Semenanjung sehingga 107 kawasan majoriti pengundi Melayu, selain Sabah dan Sarawak bakal menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru berikutan kehadiran parti WARISAN dan pergolakan Parti Rakyat Sarawak (PRS) berikutan pemecatan dua pemimpin, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Di negeri lain, kebanyakan kawasan akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru. Di Selangor saja PAS mengumumkan bertanding semua kerusi DUN dan Parlimen, mengikuti jejak BN, selain pakatan pembangkang yang menggunakan simbol PKR.

Di Kelantan dan Terengganu yang kebanyakan kawasan terdiri daripada majoriti Melayu, bakal menyaksikan hampir semua Parlimen dan DUN berlaku pertembungan tiga penjuru dengan saingan sengit dijangka berlaku antara BN dan PAS.

Selepas penamaan calon esok, semua yang bertanding mempunyai 11 hari untuk berkempen secara rasmi selepas membentangkan manifesto masing-masing sejak minggu lalu.

Pada hari penentuan nanti, pengundi akan membuat pilihan pada hari pengundian yang bakal menentukan gabungan parti mana yang akan membentuk kerajaan seawal tengah malam 9 Mei.

1214 dibaca
Berita Harian X