Rabu, 9 Mei 2018 | 11:28pm
TUN Dr Mahathir Mohamad

Tun M kembali ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Parlimen, selepas menewaskan penyandang kerusi Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga jam 11 malam tadi, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang juga bekas Perdana Menteri, itu kembali bertanding pada PRU-14 selepas kali terakhir bertanding pada PRU 1999 di Parlimen Kubang Pasu.

Anak beliau, Datuk Seri Mukhriz, yang juga Timbalan Presiden PPBM, turut kembali menguasai kerusi Parlimen Jerlun, selain menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

Selain mengekalkan Parlimen Pagoh, Johor, yang disandangnya sejak lima penggal lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga memenangi saingan tiga penjuru di DUN Gambir.

Muka baru, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membuat kejutan menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang berpindah kerusi Parlimen dari Permatang Pauh ke Pandan turut menewaskan pencabar dalam saingan lima penjuru.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah menyandang kerusi Permatang Pauh selama empat penggal sejak PRU 1999. Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, yang masing-masing dimenangi sejak PRU-12.

Anaknya, Nurul Izzah Anwar, yang meninggalkan kerusi Parlimen Lembah Pantai, pula memenangi saingan tiga penjuru di Parlimen Permatang Pauh.

DAP menerusi Ketua Parlimennya, Lim Kit Siang, turut mengekalkan penguasaan di kerusi Iskandar Puteri, yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah untuk penggal kedua.

Anak beliau, Lim Guan Eng, juga mempertahankan kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Putih, Pulau Pinang.

Pemimpin utama Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu, membuat kejutan memenangi kerusi Parlimen Kota Raja dalam cubaan pertamanya selepas tidak bertanding pada PRU-13.

Timbalannya, Salahuddin Ayub, menebus kekalahannya dalam PRU-13, apabila memenangi Parlimen Pulai dengan menewaskan penyandang, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Salahuddin turut memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dalam Parlimen Pagoh.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Marang untuk penggal ketujuh, manakala anaknya, Muhammad Khalil, yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS memenangi kerusi DUN Batu Burok untuk penggal pertama.

Timbalan Abdul Hadi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang berpindah kerusi dari DUN Jengka ke Parlimen Kubang Kerian turut memenangi kerusi itu.

Parti Warisan Sabah (Warisan) pula menerusi Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengekalkan kerusi Parlimen Semporna untuk penggal keenam selain menawan DUN Senallang.

10480 dibaca
Berita Harian X