;
Rabu, 16 Mei 2018 | 4:37pm
DATUK Seri Anwar Ibrahim. - Foto EPA

'Saya sokong Tun M, Wan Azizah pimpin kerajaan - Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu bertindak sebagai rakyat biasa dan memberikan sokongan padu kepada kepemimpinan kerajaan baharu.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu juga menyatakan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mahathir komited terhadap agenda negara, selain konsisten kepada perubahan.

"Keutamaan saya pada ketika ini adalah kepentingan rakyat dan saya sudah memaafkan beliau (Dr Mahathir)," katanya dalam sidang media khas sebaik dibebaskan di kediamannya di Bukit Segambut, sebentar tadi.

Anwar berkata, beliau juga tidak mempunyai isu peribadi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menyentuh mengenai perlantikan dalam Kabinet, Anwar berkata, itu adalah keputusan Perdana Menteri kerana beliau mempunyai kuasa prerogatif.

"Namun begitu perlu ada rundingan dalam semua kepimpinan Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyatakan beliau tidak menentang pelaburan dengan kerajaan China, namun harus meneliti dan mengkaji segala perjanjian sebelum ini.

Mengulas mengenai pembebasannya daripada penjara, Anwar menghargai khidmat pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia yang memberikan layanan memuaskan sepanjang beliau menjalani hukuman penjara.

"Terima kasih juga kepada Dr Mahathir, kerana mempermudahkan proses ini (Pengampunan Diraja).

"Ini sekaligus membersihkan saya dari segala tuduhan sebelum ini.

4104 dibaca
Berita Harian X