Rabu, 16 Mei 2018 | 5:16pm
MENTERI Besar Johor Datuk Osman Sapian pada sidang media untuk mengumumkan barisan 10 anggota Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada. - Foto BERNAMA

50 peratus EXCO Johor wakili golongan muda

JOHOR BAHRU: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor diwakili 50 peratus golongan muda berusia bawah 45 tahun bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, ia termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung, 32; ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali, 33 dan ADUN Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal, 42.

Selain itu ADUN Skudai, Tan Hong Pin, 37 dan ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah, 45.

Osman berkata, pemilihan barisan EXCO dibuat berdasarkan pengalaman, sumbangan serta kewibawaan sepanjang berkecimpung dalam parti politik.

Menurutnya, barisan EXCO termasuk golongan muda berdepan dengan cabaran apabila masing-masing menggalas lebih daripada dua portfolio.

Katanya, mereka seharusnya menyahut cabaran untuk menjayakan setiap portfolio diamanahkan berkenaan.

"Kami yakin dengan pemilihan ini kerana mereka lebih bertenaga untuk melaksanakan tugas diberikan.

"Selain itu, pemilihan orang muda kerana mereka lebih memahami ekonomi kreatif bagi membantu golongan muda menjana pendapatan sendiri," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan EXCO baharu Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) di sini hari ini.

Pada masa sama, Osman berkata, setiap EXCO akan meneliti kewangan dan membuat kertas kerja untuk menunaikan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, EXCO berkaitan juga akan menilai tahap kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum boleh membatalkan lesen penjaja dan peniaga kerana pendapatan PBT berbeza.

"Selain itu, kami akan berbincang dengan agensi berkaitan dan membuat kertas kerja untuk memberikan air percuma kerana ia membabitkan wang RM36 juta setahun.

"Kami juga akan berbincang dengan jawatankuasa PH negeri dan pusat sama ada perlu untuk mengisytiharkan harta barisan EXCO," katanya yang memegang portfolio Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi.

Semua EXCO Johor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Majlis Istiadat Pengisytiharan Menteri Besar dan EXCO di Dewan Singgahsana Istana Besar, di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, empat EXCO dari DAP, masing-masing dua dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR, selain Menteri Besar dari PPBM.

1552 dibaca
Berita Harian X