Rabu, 16 Mei 2018 | 6:01pm
MADIUS (tengah) menerima borang keahlian menyertai UPKO daripada James (kanan). - Foto ihsan Facebook Madius Tangau

ADUN Sugut dari BN sertai UPKO

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut daripada Barisan Nasional (BN), Datuk James Ratib mengambil keputusan menyertai Pertubuhan Pasokmomogon Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

James yang juga Ketua Bahagian UMNO Beluran menyerahkan borang keahlian UPKO kepada Pemangku Presiden Parti itu, Datuk Seri Madius Tangau di Penampang, pagi tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan UPKO yang keluar daripada BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) minggu lalu dan menyokong pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama Pakatan Harapan (PH), kini mempunyai enam ADUN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Madius dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, berkata borang keahlian James untuk menyertai UPKO diserahkan kepadanya di kediamannya, pagi tadi.

Empat daripada lima ADUN UPKO dilaporkan sudah menyatakan pendirian mengikut keputusan menyertai pakatan WARISAN-PH iaitu Datuk Masiung Banah (Kuamut), Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) dan Datuk Limus Jury (Kuala Penyu).

Bagaimanapun, Datuk Bobbey Suan (Nabawan) yang dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di bawah Kabinet Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman minggu lalu, dilaporkan masih belum bertemu Madius bagi menyatakan pendiriannya.

Sementara itu, Masiung pula ketika dihubungi, berkata keputusannya menyokong pakatan WARISAN-PH diambil selepas mengadakan mesyuarat di peringkat bahagian UPKO dan mendakwa penyokongnya di peringkat akar umbi menyokong keputusannya.

"Mereka (pengundi) yang meminta saya menyokong (Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) selepas satu mesyuarat khas diadakan sebelum saya bertemu dengan Ketua Menteri bersama ADUN lain bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan baharu.

"Menurut mereka (pengundi), belum masanya lagi DUN Kuamut ini menjadi kawasan pembangkang dan masih banyak agenda serta pembangunan perlu diteruskan," katanya.

4714 dibaca
Berita Harian X