Sabtu, 18 Ogos 2018 | 2:15pm
NGA Kor Ming (lima dari kanan) merasmikan pembukaan Kaunter Khidmat Bergerak DAP Keranji. - Foto Razif Rosli

PAS sokong MCA yang tolak hudud?

KAMPAR: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, mempersoalkan pendirian PAS menyatakan sokongan parti itu kepada MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Menurut Kor Ming, pihaknya terkejut dengan sikap PAS ketika ini yang tidak selari dengan ‘dasar’ mereka kerana mengajak ahli memberi undi kepada MCA yang secara tegas menentang usul Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 berkaitan hukum hudud sebelum ini.

“Kita nak tanya PAS sekarang, apa sudah jadi dengan mereka, adakah mereka lupa MCA parti yang bertegas dengan pendirian tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tapi sekarang PAS sudah menukar wajahnya terhadap MCA, sekarang tanpa segan silu minta ahli sokong MCA yang menentang dasar perjuangan PAS selama ini, ini perlu diperjelaskan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kaunter Khidmat Bergerak DAP Keranji dekat sini hari ini.

Khamis lalu, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh, mengejutkan banyak pihak apabila menyatakan sokongan parti itu kepada MCA pada PRK DUN Balakong.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dipetik sebagai berkata, sokongan berkenaan diberi atas dasar MCA sebagai ‘rakyat Malaysia’.

Sebelum itu, Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan, supaya ahli parti mengundi calon MCA pada PRK DUN Balakong atas ‘semangat pembangkang’.

Kor Ming, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata tindakan PAS menyokong MCA yang menolak pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan menunjukkan parti itu hanya bertopengkan Islam untuk menutup perjuangan sebenarnya terhadap kuasa dan kepentingan politik parti.

“Sekarang pimpinan tertinggi PAS menyeru ahli memberikan sokongan kepada parti yang menolak hudud PAS, menjadikan PAS ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

“PAS sekarang ‘flip-flop’ kerana sering akan mengubah pendirian jika akan menguntungkan mereka, ‘fatwa’ pun boleh berubah bila-bila masa supaya selari dengan tindakan mereka,” katanya.

Katanya, beliau berpendapat PAS hanya mempergunakan kesucian agama Islam untuk kepentingan politik mereka.

“Rakyat sendiri boleh menilai apa yang mereka sudah lakukan kerana sebaiknya, nas agama tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik,” katanya.

1460 dibaca
Berita Harian X