Sabtu, 18 Ogos 2018 | 2:35pm
RODZIAH Ismail

Dasar calon bertanding tentukan hala tuju PKR

SHAH ALAM: Dasar yang dikemukakan calon bertanding dalam pemilihan PKR penting bagi menentukan hala tuju parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Rodziah Ismail berkata, pemilihan PKR yang akan berlangsung nanti bukan hanya sekadar mahu menang semata-mata.

“Kita mahu ahli atau calon yang bertanding faham dengan dasar yang hendak dibuat. Dasar yang mereka mahu buat untuk parti.

“Oleh itu, saya begitu tertarik dengan Rafizi (Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli) punya pandangan dan harapan. Kalau beliau diberi peluang untuk terajui parti, beliau akan membuka koperasi untuk orang PKR, Itu adalah reformasi.

“Dalam PKR kita ada 900,000 ahli, bayangkan jika setiap ahli menderma RM1, kita sudah ada dana RM900,000. Bayangkan jika setiap seorang menderma RM10, sudah berapa?” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jom Makan Durian sempena perasmian kedai serbaneka De’Variety di Seksyen 32 di sini, hari ini.

Rodziah berkata, reformasi ini penting bagi menjadikan parti PKR lebih baik.

“Kita nak orang PKR tidak bergantung dengan merasakan duduk di kerajaan peluang untuk dapat sesuatu.

“Kita nak kata duduk dalam tampuk kerajaan ini adalah tanggungjawab untuk berikan dasar terbaik untuk rakyat.

“Jadi, jika ada koperasi ini adalah ‘survival’ untuk ahli PKR sendiri di mana ia akan digunakan untuk membantu ahli mereka sendiri,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau berada dalam kem Rafizi, Rodziah berkata calon Timbalan Presiden PKR mempunyai dasar yang boleh membawa parti ke arah lebih baik.

“Saya tidak kata saya berada dalam kem Rafizi, cuma saya lebih suka dengan dasar yang Rafizi letakkan.

“Walaupun saya mengenali Rafizi, mungkin agak terlewat tetapi selaku anak muda yang berwawasan, saya rasa wajar untuk beliau diberikan ruang dan peluang.

“Kita tahu Rafizi seorang yang lantang, saya juga kebetulan mempunyai karakter yang sama,” katanya.

181 dibaca
Berita Harian X