Sabtu, 18 Ogos 2018 | 4:01pm
MUKHRIZ menghadiri majlis penyerahan lembu korban di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon hari ini. - Foto BERNAMA

Malam Ambang 100 hari PH Kedah tiada sambutan

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, hari ini mengakui kurangnya publisiti menjadi punca Malam Ambang 100 Hari Pakatan Harapan (PH) Kedah, semalam kurang mendapat sambutan dan bukannya disebabkan sabotaj oleh pihak tertentu.

Mukhriz berkata, post-mortem yang dijalankan oleh jawatankuasa program mendapati, promosi yang terhad juga menyebabkan program yang diatur bersempena Ekspo Suka Menanti yang berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos itu tidak diketahui rakyat Kedah.

“Daripada maklum balas yang saya terima, ramai yang tidak tahu mengenai program tersebut kerana ia kurang diuar-uarkan kepada rakyat negeri ini.

“Mereka ingat ada pameran ekspo sahaja, tetapi tidak tahu mengenai program tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Malam Ambang 100 Hari itu bertujuan untuk anggota Exco dan Menteri Besar membentangkan Manifesto PH Kedah yang sudah dipenuhi setakat ini, namun hanya dihadiri lebih kurang 200 orang.

Mukhriz bagaimanapun yakin rakyat akan turun beramai-ramai pada 25 Ogos ini bersempena Majlis Jelajah Harapan yang akan bermula di Kedah dengan dihadiri kepimpinan tertinggi PH, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, beliau menyerahkan 232 ekor lembu korban kepada 115 penerima bersempena Hari Raya Aidiladha di Dewan Seri Mentaloon dekat sini. – BERNAMA

3646 dibaca
Berita Harian X