Sabtu, 18 Ogos 2018 | 4:56pm
KETUA sekretariat #Reformasi 20Tahun, Zinda Kalil Sastro Hassan, (tengah) bersama sebahagian ahli sekretariat ketika mengadakan sidang media Sekretariat #Reformasi 20Tahun Keadilan Kota Bharu di Wisma MGU, Jalan Pintu Pong. - Foto Syamsi Suhaimi

Sekretariat #Reformasi20Tahun sokong Rafizi

KOTA BHARU: Sekretariat #Reformasi20Tahun yang ditubuhkan PKR Cabang Kota Bharu akan memberi sokongan penuh terhadap kepemimpinan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR, untuk berganding dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua sekretariat itu, Zinda Kalil Sastro Hassan, berkata seramai 2,609 ahli PKR Cabang Kota Bharu bersama ahli dari Cabang lain di negeri ini akan berganding untuk membantu Rafizi berkempen menjelang pemilihan parti itu, hujung bulan ini.

Beliau yang memenangi kerusi Ketua PKR Cabang Kota Bharu tanpa bertanding berkata, pihaknya juga menyasarkan seramai 13,801 ahli baharu di negeri ini yang keluar mengundi akan menyokong padu terhadap Rafizi kerana hanya pemimpin itu yang diperlukan Anwar bagi membawa agenda reformasi dalam pentadbiran negara untuk membentuk Malaysia baharu.

“Kita melihat idealisma Rafizi lebih ke hadapan selain menonjolkan keberanian yang sesuai kerana kebaikan yang dilakukannya selama ini bukan bersifat peribadi, sebaliknya untuk rakyat.

“Walaupun akan dipenjarakan dan bukan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun Rafizi tetap turun kelapangan berkempen pada PRU itu.

“Dengan Pakatan Harapan (PH) yang sudah memerintah, kita mahu pentadbiran dengan falsafah yang baharu, dengan mengetepikan cara dan budaya lama. Hanya Rafizi yang sesuai untuk gabungan ini bagi melaksanakan reformasi yang diperjuangkan selama ini.

“Memandangkan Kota Bharu satu-satunya Cabang yang tiada pertandingan di semua peringkat kategori, iaitu dari Ketua hingga Ahli Jawatan Kuasa (AJK), Angkatan Muda dan Sayap Wanita, jadi kita akan memerah tenaga bagi memastikan Rafizi mencapai kemenangan nanti,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Pada pemilihan itu, pertembungan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR akan berlaku.

Ditanya mengenai dakwaan Azmin lebih layak sebagai Timbalan Presiden PKR kerana hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Zinda berkata, perkara itu tidak memberi faktor besar kenapa perlunya Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menang.

Sementara itu, calon Ketua PKR Cabang Pasir Mas, Mohd Samsudin Abd Rahman, berkata dengan kemenangan Rafizi, perjanjian Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama dua tahun sebelum diserahkan kepada Anwar akan menjadi realiti.

“Kita tidak mahu kelemahan (Azmin) menjejaskan perjanjian itu kerana Rafizi boleh bertindak lebih tegas. Tambahan pula, kemenangan Rafizi akan merobohkan tembok pemisah dalam kalangan ahli yang diwujudkan Azmin selama ini,” katanya.

922 dibaca
Berita Harian X