Sabtu, 18 Ogos 2018 | 6:01pm
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad (kiri) bersama pemimpin UMNO Johor ketika mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor Bahru, di Pejabat Perhubungan UMNO Johor Bahru. - Foto ihsan UMNO Johor

UMNO Johor bentuk Blue Print

JOHOR BAHRU: Badan Perhubungan UMNO Johor membentuk Blue Print UMNO Johor yang berkaitan kedudukan dan hala tuju parti itu, selain sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad, berkata pihaknya mengambil kira pelbagai perkara, termasuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Pada masa sama, beliau tetap yakin bahawa UMNO Johor masih diterima masyarakat negeri ini, khususnya dalam kalangan orang Melayu.

“Pada mesyuarat hari ini, kita mengambil keputusan untuk membentuk Blue Print UMNO Johor, membentuk jawatankuasa bagi membentuk kertas kerja berhubung kedudukan UMNO negeri hari ini dan hala tuju.

“Langkah ini diambil supaya UMNO Johor yang juga negeri berpotensi menjadi juara negeri maju dalam negara kerana kita yakin UMNO Johor masih diterima masyarakat khususnya dalam kalangan orang Melayu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Hasni berkata, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa isu yang perlu diperjuangkan UMNO Johor termasuk Pedra Branca (Batu Putih) berikutan kegagalan kerajaan yang ada mempertahankan kedaulatan dan sempadan negara.

Katanya, pihaknya juga bersetuju supaya usaha membangunkan sekolah politik menimbulkan kesedaran generasi muda dan menjadi kaedah membentuk pemikiran kritikal, sekali gus memastikan masyarakat membezakan antara perkara yang benar dan fitnah.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji 100 hari, sekali gus menunjukkan manifesto itu hanya janji kosong ketika Pilihan Raya Umum Ke-14.

355 dibaca
Berita Harian X