Sabtu, 18 Ogos 2018 | 6:29pm
SETIAUSAHA Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar mengadakan sidang media pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 Balakong di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi.- Foto Rosela Ismail

UMNO, BN tidak boleh guna logo parti di Seri Setia

KUALA LUMPUR: Parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya tidak dibenarkan menggunakan logo atau lambang parti itu ketika berkempen untuk parti lain yang bukan berada di bawah satu gabungan atau pakatan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata hanya parti berada dalam sesuatu gabungan yang sama boleh menggunakan logo atau lambang parti itu ketika berkempen pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK).

“Kalau parti itu di bawah satu pakatan atau gabungan, tidak ada masalah (guna lambang dan logo parti). Seperti calon PKR bertanding, parti lain yang berada di bawah gabungan dengannya boleh guna logo atau lambang parti.

“Contohnya di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kalau PAS bertanding dan UMNO turun berkempen, UMNO tidak boleh guna logo dan lambang parti itu atau Barisan Nasional (BN) kerana PAS bukan komponen BN.

“Tetapi di PRK DUN Balakong, MCA yang bertanding, maka parti komponen BN seperti UMNO boleh guna logo atau lambang parti kerana mereka dalam satu gabungan, tidak menjadi kesalahan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Dalam PRK DUN Seri Setia, UMNO mengumumkan yang parti itu akan menurunkan jenteranya bagi membantu PAS dalam kempen PRK DUN Seri Setia pada 8 September depan.

Walaupun PAS bukan komponen BN, ini kali kedua UMNO dan PAS bekerjasama dalam satu PRK bagi menewaskan calon PH selepas melakukannya ketika PRK DUN Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Elias berkata, SPR akan memantau semua calon dan parti yang berkempen selama 21 hari mulai hari ini sehingga tengah malam 8 September depan supaya mematuhi peraturan pilihan raya PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong.

“Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) SPR akan memantau dan meronda dalam dua PRK ini serta mengambil tindakan terhadap parti atau calon yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

1767 dibaca
Berita Harian X