Sabtu, 18 Ogos 2018 | 8:07pm
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad (tengah) sebagai ahli panel pada Forum 100 hari PH berjaya, UMNO tertipu anjuran Badan Perhubungan UMNO Johor, di Pejabat Perhubungan UMNO Johor Bahru. - Foto Mohd Fahmi Md Yusof

UMNO Johor tidak bimbang kewujudan parti baharu

JOHOR BAHRU: UMNO Johor tidak bimbang dengan kewujudan sebarang parti baharu dan menafikan ia boleh mencetus perpecahan kelompok parti politik dalam negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata beliau tidak beranggapan penubuhan parti baharu, terutama daripada Pakatan Harapan (PH) akan memberi saingan kepada UMNO.

Katanya, kebanyakan parti baharu ditubuhkan untuk memperjuangkan isu, sebaliknya UMNO tetap dengan asas memberikan perkhidmatan untuk rakyat dan ahli.

“Saya tidak bimbang ada parti baharu. Sekiranya kewujudan mereka boleh didapati memecahkan kelompok parti politik, saya tidak nampak parti sama ada daripada PH dapat menyaingi UMNO dari segi jumlah cawangan dan ahli.

“UMNO misalnya, memerlukan 50 ahli untuk membolehkan tertubuhnya cawangan, namun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya 20 ahli untuk tubuh satu cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum 100 hari: PH berjaya, UMNO tertipu, anjuran Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini, hari ini.

Selain Hasni sebagai ahli panel, turut dijemput adalah Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Dr Adham Baba.

Dalam perkembangan lain, Hasni menegaskan UMNO Johor mempunyai program yang membabitkan akar umbi untuk mengingatkan ahli parti termasuk ideologi perjuangan.

“Program ini dilakukan secara berperingkat supaya UMNO dapat memberi penjelasan dari semasa ke semasa,” katanya.

574 dibaca
Berita Harian X