Sabtu, 18 Ogos 2018 | 10:01pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (kiri)menyerahkan lembu korban kepada seorang penerima pada majlis penyerahan lembu korban di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu,Serdang. - Foto Azahar Hashim

Manifesto PH mampu ditunaikan apabila kewangan kukuh

BANDAR BAHARU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yakin semua janji Manifesto PH mampu dilaksanakan sebaik kedudukan kewangan negara bertambah baik.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketika itu nanti, janji manifesto akan dilaksanakan pada masa yang munasabah.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, ada tiga kategori membabitkan janji manifesto iaitu sebahagian yang sudah dilaksanakan, sedang diusahakan dan janji yang belum terlaksana.

“Daripada 60 perkara yang dijanjikan dalam manifesto PH, kerajaan sudah melaksanakan 10 janji dalam tempoh 100 hari pemerintahan.

“Antara janji yang ditunaikan adalah menghapuskan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST), melancarkan Skim Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan membatalkan senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Janji lain yang sudah ditunaikan ialah mengekalkan harga minyak dan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Atas Skandal Besar seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu di pekan Serdang, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, bagaimanapun ada janji yang tidak dapat dilaksanakan atas faktor masalah kewangan seperti janji menghapuskan hutang sebahagian peneroka FELDA.

“Janji ini tidak dapat dilaksanakan kerana PH tidak mengetahui jumlah sebenar beban hutang FELDA cukup besar kerana ketika menjadi pembangkang kami tidak dapat akses untuk mengetahui kedudukan kewangan FELDA,” katanya.

487 dibaca
Berita Harian X