Khamis, 27 September 2018 | 2:59pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Saya semakin sihat - Muhyiddin

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau kini semakin sihat selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Katanya, beliau bagaimanapun masih menjalani rawatan kemoterapi susulan pembedahan membuang ketumbuhan terbabit.

“Kehadiran saya hari ini adalah untuk membuktikan yang saya masih hidup dan sihat. Keadaan saya semakin baik selepas menjalani rawatan kemoterapi.

“Pada 1 Oktober ini, saya akan membuat satu lagi rawatan kemoterapi. Secara umumnya, saya berasa lebih sihat sekarang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi BERSATU di sini, hari ini.

Muhyiddin sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada Ogos lalu.

Susulan daripada pembedahan itu, beliau yang juga Presiden BERSATU terpaksa menjalani kemoterapi sebagai sebahagian rawatan susulan untuk dirinya.

1165 dibaca
Berita Harian X