Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:57pm
Suami Calon Bebas, Lau Seck Yan, Poh Seng Hiap, mengedarkan risalah pengenalan calon isterinya rumah ke rumah dalam dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen, P132 di Taman Indah Jaya Lukut Port Dickson. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Suami calon Bebas dikejar anjing ketika edar risalah kempen

PORT DICKSON: Suami kepada calon Bebas, Lau Seck Yan, dikejar anjing ketika mengedarkan risalah kempen di Taman Wawasan, Lukut di sini, pagi tadi.

Berkongsi kisah itu, Poh Seng Hiap, 51, berjalan dari rumah ke rumah untuk mengedarkan risalah kempen isterinya yang menjadi calon wanita tunggal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Lazimnya, Seng Hiap menemani isterinya berkempen tetapi hari ini beliau keluar bersendirian kerana isterinya yang juga bekas pensyarah mempunyai urusan lain di ibu negara.

“Saya mulakan kempen jam 8.30 pagi dengan bertemu penduduk dan mengajak mereka keluar mengundi Sabtu ini.

“Ketika berjalan, saya terdengar bunyi salakan dan sebaik menoleh ke belakang, saya terkejut melihat antara enam hingga tujuh ekor anjing meluru ke arah saya.

“Mujurlah saya tidak panik dan tidak diserang kumpulan anjing berkenaan,” katanya ditemui di Taman Indah Jaya, Lukut di sini, hari ini.

Seng Hiap menyifatkannya sebagai insiden paling melucukan buat dirinya dan akan menjadi kenangan berharga sepanjang membantu isterinya berkempen.

Beliau sanggup turun padang walaupun tanpa Seck Chan kerana tidak mahu melepaskan peluang berkempen yang hanya berbaki sehari.

“Selama ini saya hanya menjadi pemandu, menyusun jadual dan menjaga keselamatan isteri ketika berkempen tetapi hari ini saya suruh dia fokus kepada urusan lebih penting dan biar saya jumpa pengundi.

“Sejak awal isteri beritahu mahu menjadi calon, saya memberi sokongan dan berharap beliau mencapai impiannya untuk membantu penduduk di Port Dickson,” katanya.

Seck Yan yang menggunakan lambang arnab adalah antara tujuh calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan calon Bebas, Tan Sri Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong serta Kan Chee Yuen.

800 dibaca
Berita Harian X