Khamis, 11 Oktober 2018 | 6:05pm
Timbalan Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, (dua kanan) dan Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (dua kiri) ketika melakukan gimik perasmian Ekspo Tani dan Ekspo Hijau di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Syamsi Suhaimi

PAS sedia disiasat dakwaan terima wang UMNO

KOTA BHARU: PAS terbuka terhadap siasatan pihak berkuasa berhubung dakwaan menerima wang daripada UMNO yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob, berkata PAS menganggap dakwaan itu adalah fitnah dan hanya andaian pihak tertentu.

“Ini satu fitnah dan satu andaian yang sengaja dibuat kerana UMNO sekarang sudah tidak mendapat tempat lagi dalam politik.

“PAS bersikap terbuka dengan perkara seperti ini (untuk siasatan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Tani dan Ekspo Hijau di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas dakwaan UMNO memindahkan sejumlah RM2.5 juta kepada PAS dengan sumber wang itu kemungkinan daripada dana 1MDB yang diseleweng.

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu membuat laporan polis Ahad lalu mendesak siasatan segera selepas tersebarnya salinan transaksi pemindahan wang itu.

Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa meminta polis turut menyiasat dakwaan beliau mengenai penyaluran wang berjumlah lebih RM90 juta kepada pemimpin PAS seperti didedahkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata PAS berusaha sendiri untuk mendapatkan sumber kewangan tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

“Kita tidak dapat bantuan daripada mana-mana pihak, kita berkerja sendiri, berusaha sendiri, dibantu oleh parti, dibantu penyokong kita termasuk melalui pungutan derma.

“Kalau UMNO bantu PAS, PAS dah jadi kaya-raya, tapi sehingga kini PAS masih lagi sebuah parti yang sederhana,” katanya.

1149 dibaca
Berita Harian X