Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:52pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto NSTP

Bukan sembah derhaka - Takiyuddin

PORT DICKSON: Pandangan disuarakan PAS berhubung isu kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, bukan sembah derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS memperakui pengampunan penuh di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Anwar.

Bagaimanapun, katanya, PAS mempersoalkan kedudukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dianggap gagal mentafsir kelayakan Anwar untuk bertanding di Port Dickson.

“Saya percaya Seri Paduka bertindak mengikut undang-undang mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukan soal derhaka tetapi perundangan. Persoalannya, apakah Anwar menerima pengampunan bebas di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan?

“PAS menyuarakan bantahan isu undang-undang ini kepada SPR.

“Jika SPR tidak mampu membuat tafsiran jelas berhubung status kelayakan Anwar, SPR perlu merujuk kepada mahkamah sebelum pilihan raya dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PAS di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Pengarah Operasi dan Jawatankuasa Induk PAS bagi PRK Port Dickson, Datuk Iskandar Abdul Samad; Pesuruhjaya PAS negeri, Mustaffa Daharun dan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Sementara itu, Idris menyifatkan Pakatan Harapan (PH) cuba mengalih isu dengan memutar kembali isu wang RM2.5 juta yang didakwa diterima PAS.

“Mereka membuat dakwaan tanpa bukti bagi memberi persepsi buruk terhadap PAS. Mereka tahu calon kita tiada rekod jenayah dan rakyat kembali menyokong PAS.

“Mereka ada kuasa dan bukan pembangkang tetapi bercakap seolah-olah mereka pembangkang.

“Untuk PRK Port Dickson ini, PAS mengumpul duit daripada penyokong sendiri... dapatlah dalam RM100,000 dan itulah yang kita belanja.

“Kalau berani, PH perlu isytiharkan perbelanjaan mereka,” katanya.

Idris turut berterima kasih kepada semua media yang dilihat memberi laporan seimbang.

“PAS berpuas hati dengan semua media yang mesra dengan semua calon termasuk PAS. Kami puas hati dengan laporan seimbang, terima kasih kepada media,” katanya.

2666 dibaca
Berita Harian X