Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:34pm

Anwar lakukan pecutan terakhir

PORT DICKSON: Memanfaatkan beberapa jam terakhir sebelum detik tengah malam ini, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuat naik klip video sorotan perjalanan kempennya sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Video berdurasi hampir empat minit yang dimuat naik menerusi medium media sosial termasuk akaun Facebook dan Twitter rasminya, memaparkan aktiviti Ketua Umum PKR terbabit selama 14 hari tempoh berkempen bermula 29 September lalu yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Klip video yang mula dimuat naik tengah hari tadi, memaparkan sorotan bermula pada hari penamaan calon sehingga kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada program ceramah, Isnin lalu.

Menerusi paparan itu, Anwar dilihat menemui pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya, selain petikan ucapannya yang mahu berkhidmat tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

Klip video itu diakhiri dengan rayuan jentera parti termasuk anaknya, Nurul Nuha Anwar, supaya memilih bapanya sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang baharu.

Kempen Ketua Umum PKR itu berakhir malam ini, dengan program ceramah kemuncak di empat lokasi berbeza sebagai penutup tempoh berkempen PRK Port Dickson.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan tujuh penjuru membabitkan Anwar dengan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, bagi membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki seramai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

1019 dibaca
Berita Harian X