Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:51pm
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/Faiz Anuar

Tidak perlu berhempas pulas kerana ini pemilihan dalam keluarga - Azmin

SHAH ALAM: Ahli PKR akan memilih pemimpin parti itu berdasarkan kepada rekod kerja calon yang bertanding.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, justeru, tidak perlu berhempas pulas untuk bersaing kerana ia adalah pemilihan dalam keluarga.

Katanya, pemilihan adalah satu proses biasa dalam parti yang mengamalkan demokrasi dengan mana-mana ahlinya boleh menawarkan khidmat untuk bertanding bagi sesuatu jawatan.

Beliau berkata, ia juga membuktikan bahawa PKR satu parti yang subur dengan amalan demokrasi apabila jawatan tertinggi termasuk presiden dan timbalannya boleh ditandingi oleh mana-mana ahli.

“Ini pemilihan dalam keluarga jadi tidak perlu berhempas pulas untuk bersaing kerana akhirnya anggota (ahli) akan memilih seseorang untuk memimpin parti berdasarkan kepada rekod kerja pemimpin berkenaan.

“Saya serahkan kepada kematangan anggota PKR yang sudah lama berjuang dan parti ini bukanlah lahir di istana, parti ini lahir di jalan raya.

“Pelbagai dugaan, ujian, cabaran yang telah saya dan anggota lalui, ini bukan satu perkara yang mudah. Saya masih ingat pada 1998, ini adalah kemuncak era reformasi pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda Bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua di Kompleks Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Tokoh wartawan veteran, Tan Sri Johan Jaafar bertindak sebagai moderator.

Mohamed Azmin berkata, beliau menjadi individu pertama yang ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap pada 16 September 1998 sebelum bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan itu kerana beliau adalah pegawai kanan yang paling lama berkhidmat dengan Anwar.

“Pengalaman yang lalui itu amat getir sekali, kerana deraan yang dilakukan saya tidak pernah terfikir ia boleh berlaku di Malaysia, saya ingat di Iraq mungkin berlaku.

“Saya dipukul, saya ditelanjangkan, saya diikat, saya diaibkan... namun bagi saya ia satu ujian yang perlu saya lalui. Saya tidak pernah kesal dengan apa yang kita lalui secara kolektif kerana benih yang kita tanam pada 1998 itu kini semakin subur, rakyat lebih tahu di mana keadilan dan di mana kebatilan.

“Ini lah hasil yang kita perolehi pada 9 Mei yang lalu. Maka saya kira anggota PKR telah lihat rekod saya bukan saja dalam PKR tetapi saya berkhidmat dengan Anwar selama 14 tahun daripada Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

“Maka, pengalaman dalam kerajaan, Alhamdullilah saya dapat belajar banyak ketika itu dan pengalaman reformasi selama 20 tahun dan kini kita serahkan balik kepada anggota untuk membuat keputusan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengingatkan ahli PKR termasuk yang memegang jawatan untuk tidak terlalu ‘riuh’ dengan pemilihan parti itu ketika ini, sebaliknya mereka perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya ingatkan pimpinan dan anggota parti, jangan kita runtuhkan apa yang kita bina. Kita harus jaga perpaduan, keharmonian dalam parti, ini adalah pemilihan keluarga dan saya mengharapkan setelah selesai pemilihan pada November ini PKR akan muncul sebagai parti yang lebih kuat dan inklusif dan meraikan kepelbagaian dan penyertaan anak muda untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

510 dibaca
Berita Harian X