Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:49pm
ANWAR berucap pada majlis Sepetang Bersama Veteran ATM, di Port Dickson, hari ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

Persatuan veteran tentera disaran bergabung

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyarankan semua persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diselaraskan supaya peranan dan fungsi persatuan itu lebih berkesan.

Ketua Umum PKR itu menyedari ada beberapa perkara perlu diberi perhatian serius dan diselesaikan berhubung kebajikan anggota dan veteran ATM.

Apabila semua persatuan veteran ATM digabungkan, katanya, ia akan memudahkan kerajaan memberi perhatian terhadap tuntutan golongan terbabit dan menyelesaikan isu berbangkit.

“Mungkin ada sejarah lalu yang menyebabkan terlalu banyak persatuan veteran bercambah, tetapi ia mesti juga ikut satu payung sebab persatuan ini mesti ada menjadi jurucakap yang lebih berkesan.

“Apabila berpecah, tuntutan itu kadang-kadang menjadi kian tipis dan tidak kukuh tapi itu terserah kepada veteran, saya cuma beri perhatian,” katanya berucap pada majlis Sepetang Bersama Veteran ATM, di sini, hari ini.

Anwar berkata, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, sudah pasti keutamaan diberi untuk membela nasib anggota tentera yang cedera ketika bertugas dengan membawa isu itu ke Parlimen.

Katanya, bilangan mereka pun tidak terlalu ramai, namun adalah tidak wajar jika sekadar memberi bantuan kebajikan kerana mereka cedera dalam tugasan.

Dalam pada itu, beliau berkata, perhatian juga harus diberikan kerajaan berkaitan isu perumahan yang kerap dibangkitkan oleh anggota tentera dan veteran.

384 dibaca
Berita Harian X