Jumaat, 12 Oktober 2018 | 8:55pm
MOHD Saiful Bukhari Azlan - Foto Reuters

Rayuan terakhir Saiful Bukhari

PORT DICKSON: Calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tetap dengan pendirian tidak mempunyai agenda politik ataupun matlamat peribadi apabila menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, tujuannya hanya untuk perubahan besar demi kesejahteraan dan kebaikan penduduk Bandar Tentera Darat itu.

“Saya menyertai PRK ini untuk membawa suara rakyat dengan lebih berkesan dalam memperjuangkan hak mereka dan perubahan lebih baik kepada Port Dickson.

“Sekarang bukan masanya untuk kita berpolitik, sebaliknya bekerja dan berkhidmat kepada rakyat tanpa agenda politik ataupun matlamat peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Port Dickson mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan buminya yang kaya untuk diterokai demi manfaat penduduknya.

“Saya mengambil dua inisiatif untuk merancakkan ekonomi Port Dickson iaitu usaha memperindahkan pesisir pantai dan melabuhkan tukun tiruan bagi meningkatkan hasil tangkapan nelayan.

“Justeru, saya merayu kepada pengundi berilah peluang saya untuk berkhidmat kepada anda demi kestabilan Port Dickson,” katanya.

1505 dibaca
Berita Harian X