Sabtu, 15 Julai 2017 | 9:28pm

Dua maut dalam nahas berasingan

SERIAN: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta yang dinaikinya bersama keluarga terbabas akibat permukaan licin di Kilometer 64, Jalan Kuching-Sri Aman di sini, hari ini.

Kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohamad Faiq Isyraf Abdullah berusia setahun, dari Kampung Pangtray, Daro dalam Bahagian Mukah, maut ketika menerima rawatan di Hospital Serian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Sri Aman menuju ke Kuching.

Beliau berkata, kenderaan itu yang dipandu seorang wanita, Sarimah Sahari, 42, bersama tiga penumpang gagal dikawal berikutan keadaan jalan raya yang basah selepas hujan.

"Pemandu kereta berkenaan tidak dapat mengawal kenderaannya ketika melalui jalan lurus sebelum terbabas dan terperosok ke dalam parit di sebelah kanan menyebabkan pemandu dan penumpang terperangkap di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan orang awam," katanya. 

Beliau berkata, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Serian dengan menaiki ambulana tetapi kanak-kanak lelaki yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki, Ramlu Lengan, 42, maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 20 Jalan Sibu-Bintulu, pada jam 7.50 pagi tadi.

Bingkok berkata, motosikal Yamaha LC yang ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam semak di bahu kanan jalan. 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

72 dibaca
Berita Harian X