Ahad, 13 Ogos 2017 | 4:38pm
Perkhidmatan bas perantara monorel yang diperkenalkan Rapid KL.

Bas perantara monorel mula operasi esok

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas perantara monorel yang diperkenalkan Rapid KL untuk melancarkan sistem pengangkutan monorel, akan beroperasi bermula esok.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, perkhidmatan bas perantara akan beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 10 malam setiap Isnin hingga Jumaat.

Katanya, bas itu akan melalui semua stesen monorel bermula KL Sentral hingga Stesen Titiwangsa.

"Bagi perjalanan dari arah Titiwangsa ke KL Sentral, bas ini tidak akan berhenti di Stesen Tun Sambanthan dan Stesen Air Asia-Bukit Bintang disebabkan laluan sehala dari arah Brickfields ke Bukit Bintang.

"Perkhidmatan bagaimanapun tidak beroperasi pada hujung minggu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Prasarana berkata, perkhidmatan bas perantara monorel disediakan berikutan operasi tren set empat gerabak itu dihentikan sejak Mei lalu.

"Orang ramai boleh merujuk Pusat Khidmat Pelanggan bagi maklumat lanjut," katanya.

388 dibaca
Berita Harian X