Khamis, 7 September 2017 | 8:24pm
MUHAMMAD Pehimi (tengah) melepaskan benih ikan di Empangan Jajar Gong Duek, Jertih yang diharap dapat membiak dan bergerak menuju Sungai Besut. - Foto Mohamad Ishak

Sungai Besut lubuk ikan bernilai tinggi

JERTIH: Sungai Besut di sini, dikenal pasti sebagai tempat pembiakan utama 16 ikan bernilai tinggi, sekaligus boleh menjadi sumber mata pencarian untuk nelayan darat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata kajian inventori spesies ikan dijalankan Jabatan Perikanan Terengganu mendapati Sungai Besut kaya dengan sumber ikan darat termasuk kelah, lampam, baung dan sebarau.

Beliau berkata, penguatkuasaan lebih kerap diperlukan bagi membendung kegiatan menuba secara haram yang boleh menyebabkan ikan berkenaan pupus di negeri ini.

"Hasil kajian Jabatan Perikanan negeri pada Julai lalu mendapati kelah, lampam, baung dan sebarau membiak dengan sangat baik di Sungai Besut.

"Oleh itu, sangat penting untuk kita meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani kegiatan menuba ikan secara haram yang lama kelamaan akan menyebabkan kepupusan ikan bernilai tinggi ini," katanya selepas majlis pelepasan benih ikan ke perairan umum di Empangan Jajar Gong Duek, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 61,000 benih ikan lampam sungai dan 5,000 benih ikan baung bernilai RM20,000 dilepaskan.

"Benih ikan yang dilepaskan ini diharap dapat membiak dan bergerak menuju Sungai Besut iaitu sungai utama di daerah ini," katanya.

Muhammad Pehimi berkata, kerajaan melalui Jabatan Perikanan Terengganu sudah melepaskan 1.8 juta benih ikan dan udang serta induk ikan di beberapa sungai utama seluruh negeri sejak 2008.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri mahu melahirkan lebih ramai usahawan ikan bilis dalam kalangan nelayan tempatan berikutan kekurangan bekalan hasil tangkapan sumber berkenaan di negeri ini.

Katanya, ketika ini bekalan ikan bilis amat berkurangan kerana tidak ada nelayan tempatan mengusahakan tangkapan secara komersial, berikutan kebanyakannya dijalankan oleh nelayan dari luar Terengganu.

1903 dibaca
Berita Harian X